HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Mei 2017

ADUN Sekinchan geli hati tindakan Jamal

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan tindakan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyerahkan memorandum bantahan mendakwa beliau membawa masuk ‘pengundi hantu’ pada pilihan raya akan datang, sebagai satu perkara yang melucukan.
 
Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah, Suee Lim berkata tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu hanya kerana mahu meraih publisiti murahan.  
 
“Saya berasa lucu dan geli hati nampak gelagat dan cara Jamal berlakon mencari publisiti murahan daripada media-media ini kononnya saya bawa pengundi hantu sebanyak 1,800 masuk ke Sekinchan.
 
“Ini satu tuduhan dan fitnah kerana yang membawa pengundi hantu sebenarnya adalah Datuk Seri Jamal ke Sekinchan dan saya telah membuat bantahan pada suku keempat 2016, lebih 1,200 bantahan saya berjaya diterima SPR dan ‘hantu-hantu’ itu semua tak muncul waktu perbicaraan siasatan awal dijalankan,” katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Jamal awal hari ini hadir ke pejabat SPR Selangor bagi menghantar memorandum bantahan terhadap senarai nama pengundi ragu yang didaftarkan di dalam DUN Sekinchan.
 
Beliau mendakwa Ng Suee Lim 'mengangkut' sejumlah pengundi hantu bagi memastikan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Membidas tindakan Jamal, Suee Lim berkata pemimpin Baju Merah itu sekadar membuat dakwaan tanpa bukti yang kukuh.
 
Bahkan katanya, tindakan Jamal yang membuat bantahan di SPR hari ini 'sia-sia' kerana telah melebihi tarikh sebenar untuk membuat bantahan iaitu pada 22 Mei lepas.
 
“Jamal datang (SPR) tuduh 1,800, mana fakta dia, bila dia adu kepada SPR, bila ada siasatan umum? Dan hari ini pun sudah lepas tarikh bantahan iaitu 22 haribulan selewat-lewatnya, kalau betullah, jadi saya rasa pelik dan lucu dengan Jamal yang mencari publisiti ini.
 
“Saya nak bagi tahu Jamal tersalah, hari ini dah lepas tarikh bantahan, tarikh bantahan tamat 22 Mei ini untuk untuk bantahan, tetapi beliau buat hari ini dan tarikh itu telah silap.
 
“Pada masa terdekat, pada minggu depan saya akan bongkar lagi satu bukti jelas dan nyata di Sekinchan bagaimana Jamal membawa ‘pengundi hantu’ masuk ke Sekinchan untuk suku pertama daftar pemilih tahun 2017," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: