HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Mei 2017

Akhbar: China ada 'senarai pembelian' bagi perjanjian Bandar M'sia

MALAYSIAKINI


Keputusan Kementerian Kewangan untuk membatalkan perjanjian penjualan 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia mungkin berkaitan dengan "percanggahan besar dalam jangkaan" daripada kedua-dua belah pihak, lapor The Star.

Akhbar berkenaan berkata, ini sebahagiannya disebabkan oleh ketidakupayaan Malaysia untuk memenuhi ‘senarai pembelian’ daripada rakan niaga mereka dari China itu.

Syarat yang dicadangkan itu termasuk menjangkakan bahawa Malaysia akan "cuba membuat yang terbaik" untuk membantu China memenangi projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

"Terdapat banyak perbezaan dalam terma terperinci antara pegawai-pegawai China dan Kementerian Kewangan.

“Pihak China telah memberi ‘senarai pembelian’ untuk Malaysia penuhi, tetapi pegawai Malaysia tidak dapat memberikan komitmen terhadap sebahagian besar syarat yang dicadangkan itu kerana kepentingan negara dan sebab-sebab sosial," kata sumber.

"China berkata mereka telah memainkan peranannya pada tahun 2015 untuk membantu Malaysia mengatasi masalah kewangan pada masa-masa kritikal. Sekarang Malaysia perlu memainkan peranan bagi memastikan pelaburan China di Bandar Malaysia mendapat pulangan maksimum,” petik sumber itu lagi.

Pembeli projek usaha sama RM7.41 bilion itu adalah Iskandar Waterfront Holdings (IWH) yang berpangkalan di Johor dan China Railway Engineering Cooperation (CREC), yang dikuasai oleh kerajaan negara China.

Rabu lalu, TRX City Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan, dalam satu kenyataan berkata, Perjanjian Jualan Saham (SSA) yang dimeterai pada 31 Disember 2015 dengan konsortium itu kini telah luput.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dijadualkan melawat tapak Bandar Malaysia itu pada hari berkenaan tetapi majlis itu secara tiba-tiba dibatalkan.

Perjanjian Bandar Malaysia sebelum ini disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang firma pelaburan negara itu.

Tanah prima atau utama seluas 486 ekar di Sungai Besi, atau Bandar Malaysia, telah pun dipindahkan dan diletakkan di bawah kementerian kewangan.

Tiada ulasan: