HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Mei 2017

Alat komunikasi rosak, minyak habis jadi punca

SINAR HARIAN

Sembilan anggota bot KD Perdana selamat tiba pagi ini
Sembilan anggota bot Boarding Team KD Perdana yang ditemui selamat petang semalam selamat tiba di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA1) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, dekat sini jam 10 pagi tadi. - Foto Sinar Harian 
 
KUANTAN - Kerosakan alat komunikasi dan kehabisan bekalan minyak merupakan antara punca awal yang dikenal pasti menyebabkan bot kapal KD Perdana terputus hubungan dengan kapal induknya dalam kejadian yang berlaku di perairan Sedili, Johor Sabtu lepas.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan tentang punca sebenar ia berlaku.

"Mereka terputus hubungan ketika melakukan operasi untuk mengusir bot nelayan asing...kita tidak dapat jelaskan secara terperinci puncanya dan kita telah pun menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat perkara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan anggota bot KD Perdana selamat tiba pagi ini]

"Ini termasuk meneliti bagaimana alat komunikasi tidak berfungsi dan puncanya. Untuk itu, seorang pegawai kanan akan mengetuai lembaga siasatan ini dengan disertai beberapa anggota untuk mengetahui punca dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) Pangkalan TLDM Tanjung Gelang selepas menyambut ketibaan sembilan kru bot kapal KD Perdana yang hilang dalam kejadian berkenaan, di sini hari ini.

Sembilan kru berkenaan ialah Leftenan Mohd Hidir Yusof, Laskar Kanan (LK) Komunikasi Mohd Zaidi Rahim, LK PAP Mohd Rabidzi Rodzian, LK PAP Mohd Nurul Shahriran Salwi, LK KOM Mohd Akmalnizam Amdan, LK KOM Suhaimi Shamsudin, LK Faisal Iskandar, LK1 TMK Mohd Fitri Ab Malek dan LK1 TMK Zulhusni Sherhutdin.

Turut menyambut ketibaan kru kapal itu ialah Panglima Mawilla 1 Laksamana Muda Datuk Mohd Redza Mohd Sany serta kaum keluarga anak kapal berkenaan.

Dalam kejadian Sabtu lepas, KD Perdana terputus hubungan dengan bot kapal miliknya yang membawa Tim Menggeledah terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota LK ke bawah, ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili.

Ahmad Kamarulzaman berkata bot kapal berkenaan ditemui pada pukul 5.40 petang semalam selepas 51 jam dilaporkan hilang dari perairan Sedili pada 1 tengah hari Sabtu lepas.

Ia ditemui pada kedudukan 87 batu nautika dari timur Tanjung Gelang oleh sebuah ejen perkapalan yang berpusat di Kemaman, Terengganu iaitu hanyut sejauh 108 batu nautika dari lokasi terakhir ia dikesan.

"Bilik operasi Mawilla 1 telah memohon bantuan daripada pesawat B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan tinjauan udara ke lokasi yang dilaporkan untuk mengesahkannya.

"Setelah tinjauan dilakukan, bot yang dilaporkan ditemui itu disahkan milik KD Perdana yang dilaporkan terputus hubungan sebelum ini dan ia dijumpai bersama-sama dengan dua bot nelayan tempatan," katanya.

Berikutan itu, katanya aset permukaan TLDM telah digerakkan ke lokasi penemuan dan kapal KD Perdana telah ditugaskan untuk membawa pulang semua anak kapal berkenaan ke Pangkalan Tanjung Gelang dan tiba pada 10 pagi tadi.

"Semasa ditemui, kesemua sembilan anak kapal KD Perdana berkenaan berada dalam keadaan baik, namun mengalami keletihan dan 'sunburn' (selaran matahari) akibat terlalu lama berada di tengah laut.

"Kita dapati kesemua anak kapal mempunyai ketahanan fizikal yang baik walaupun hampir 51 jam berada di tengah laut dan ini adalah hasil latihan yang dijalani selama ini," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan keselamatan kesemua anak kapal serta penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata sebanyak 14 aset daripada pelbagai agensi telah digunakan sepanjang operasi mencari dan menyelamat berkenaan antaranya KD Perkasa, KD Handalan, KD Terengganu, KD Kelantan, KD Pendekar, KM Tatau, KM Pekan, sebuah pesawat Super LYNX dan pesawat FENNEC.

"TLDM juga ingin merakamkan penghargaan kepada tentera laut dari negara Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand yang turut menggerakkan unit mereka untuk membuat pemantauan di laut sebaik mengetahui tentang berita tersebut.

"Ini menunjukkan kita di ASEAN mempunyai kerjasama erat dan bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa apabila keadaan memerlukan tanpa sebarang kerenah birokrasi," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: