HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Amanah, PPBM akur gesaan Anwar supaya hormati kerusi PKR

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Amanah tidak terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang dikatakan akan mempertahan 30 buah kerusi milik PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini.
 
Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir berkata, Amanah sedia maklum dengan asas pembangkang yang membenarkan mana-mana kerusi yang dimenangi parti tertentu untuk dipertahankan dan ia adalah bukan suatu perkara yang baru.
 
“Jadi kenyataan Saifuddin itu pada saya bukan satu perkara yang mengejutkan atau satu benda baru sebab memang kebiasaannya parti yang dulunya menang, maka keutamaan diberikan kepada parti itu untuk sekali lagi mempertahankan.
 
“Memang pada dasarnya kita bersetuju semua kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh sesuatu parti itu, dia berhak untuk mempertahankannya,” katanya semasa dihubungi Antarapos hari ini.
 
Semalam, Saifuddin yang mewakili Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang dimenangi parti itu kepada  mana-mana rakan komponen Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. 
 
Menurutnya, Anwar telah memberikan garis panduan jelas kepada parti dalam rundingan pengagihan kerusi PRU14 yang turut melibatkan DAP, Amanah dan PPBM. 
 
Malah, kerusi yang hampir dimenangi PKR semasa PRU lepas juga tidak akan diserahkan kepada mana-mana komponen parti dalam PH pada PRU kali ini.
 
Ditanya lanjut berkenaan kerusi yang bakal ditandingi Amanah dalam PRU14 kelak, Anuar sebagaimana ditegaskan sebelum ini berkata partinya akan bertanding di semua kerusi PAS.
 
“Jadi, tiada masalah, kita (Amanah) akan bertanding kerusi-kerusi yang dulunya ditandingi oleh PAS, jadi tiada masalah.
 
“Amanah pun tidak akan tuntut mana-mana kerusi yang 30 yang dimenangi Keadilan (PKR) itu. Melainkan nanti kalau ada ‘swap’, tukar-menukar, itu lain lah," ujarnya.
 
Dalam pada itu, ketika dihubungi Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Othman, beliau turut tidak terkejut dengan perkata yang dinyatakan Saifuddin itu dan bertegas ia adalah asas dalam PH sendiri.
 
“Ia adalah adil sebab kalau kerusi-kerusi yang mereka dah menang kenapa pula PPBM perlu ambil kerusi-kerusi yang mereka dah menang," katanya ringkas.
 
 

Tiada ulasan: