HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mei 2017

Ambil kira perasaan anak sebelum hantar ke asrama


Emosi anak mungkin semakin parah kerana pelbagai tekanan duduk di asrama termasuk jadual serta disiplin yang ketat

Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR: “Anak kau dapat masuk asrama tak?” “Anak akak dapat masuk MRSM.” “Akak saya nak hantar anak sekolah tahfiz, ok tak…tempat mana yang bagus”.

Dialog seperti ini kerap kedengaran apabila keputusan peperiksaan diumumkan, bermula daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lagi.

Tidak kurang juga ibu bapa yang berasa kecewa sekiranya anak mereka gagal terpilih ke sekolah berasrama dan ke hulu ke hilir membawa surat rayuan.

Apa yang ingin penulis persoalkan ialah adakah ibu bapa memberi pilihan kepada si anak sama ada mereka mahu tinggal di asrama atau tidak?

Atau ibu bapa menggunakan kuasa veto yakni anak mesti mengikut keputusan yang mereka buat.

Ada ibu bapa mahu menghantar anak ke sekolah berasrama atas alasan mereka mahu anak mendapat belajar dengan lebih teratur dan mempunyai masa hadapan yang lebih cerah!

Sesetengah pula memilih asrama kerana mempunyai anak yang ramai dan asrama pilihan terbaik untuk anak itu mendapatkan asuhan belajar yang lebih tersusun.

Mereka bimbang jika anak yang tadinya mendapat keputusan cemerlang tidak akan dapat meneruskan kecemerlangannya sekiranya masuk ke sekolah biasa dan tinggal di rumah.

Keadaan persekitaran rumah yang tidak selesa, ruang sempit serta bising adalah faktor yang mendorong ibu bapa yang nekad menghantar anak mereka ke asrama jika terdapat peluang berbuat demikian.

Keterujaan ibu bapa mahu anak mereka ke sekolah asrama mungkin membuatkan mereka terlepas pandang untuk mengambil kira perasaan anak, atau menilai buruk baik anak mereka tinggal di asrama.

Memang sekolah berasrama ada kebaikan dan kelebihannya. Rata-rata komen positif yang penulis dengar daripada ibu yang mempunyai anak belajar di sekolah berasrama.

Anak mereka dikatakan lebih berdisiplin, mendengar kata, lebih cergas dan pintar.

Namun bagi ibu bapa yang keberatan menghantar anak ke sekolah berasrama meskipun layak untuk mendapat tempatan, hujah mereka juga ada asasnya.

Kebanyakannya tidak mahu berpisah jauh daripada anak dan bimbang sekiranya ada yang tidak baik menimpa anak mereka. Ada juga yang menjadikan beban kewangan sebagai isu.

Malah ada seorang bapa yang penulis tanya pandangan tentang anak perempuan yang dihantar ke sekolah berasrama menegaskan beliau bimbang anak itu akan menjadi malas untuk membuat kerja rumah, tidak tahu mengurus rumah dan mungkin terbawa-bawa dengan kehidupannya di asrama apabila sudah berkahwin!

Pernah seorang rakan yang menghantar anaknya ke sekolah berasrama selepas peperiksaan UPSR
berkongsi kisah anaknya yang suka berkurung di dalam bilik apabila balik bercuti sekolah dan sudah tidak mesra dengan adik beradik yang lain!

Penjawat awam, Ainul Huda, ibu kepada tiga orang cahaya mata (dua perempuan 4 dan 3 tahun; seorang lelaki sembilan bulan) berkongsi pandangannya tentang sekolah berasrama.

“Walaupun saya sendiri adalah produk sekolah asrama yang banyak mengajar sendiri tentang pengurusan masa dan berdikari tetapi saya tidak bercadang untuk menghantar anak saya ke sekolah asrama.

“Ini kerana saya tidak percaya remaja atau anak zaman ini boleh membuat penilaian yang baik. Perbuatan mereka kadang-kadang melampaui batas walaupun mungkin berniat untuk suka-suka sahaja.

“Bukan sahaja pelajar sukar dipercayai malah sesetengah warden dan guru juga tidak boleh dipercayai. Ini terbukti dengan kes adik Thaqif baru-baru ini,” katanya.

Ainul merujuk kepada kes murid tahfiz yang dipotong kaki, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11.

Thaqif meninggal dunia baru-baru ini ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Baharu akibat jangkitan kuman.

Seorang pembantu warden di asrama pusat tahfiz swasta di Johor ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes yang membabitkan pelajar tahfiz itu.

Dalam kejadian berkenaan mangsa dilaporkan dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan di kedua-dua kakinya.

Menurut Ainul, keputusannya berhubung masa hadapan anaknya itu adalah sebahagian daripada usaha beliau untuk melindungi mereka daripada “pembuli, pendera (sama ada fizikal atau seksual) dan pengaruh yang buruk.

“Selebihnya tentulah kira serahkan kepada Allah. Soal disiplin atau berdikari boleh diterapkan atau dididik dengan cara yang lain,” katanya.

Dalam menulis isu ini, saya lebih memikirkan kebajikan anak di sekolah berasrama. Terdetik di hati apakah ibu bapa mereka sering memikirkan keadaan anak di asrama dan sentiasa mengambil berat kebajikan anak mereka?

Tidak dapat juga dinafikan memang ada kelebihan anak yang belajar di sekolah berasrama tetapi perasaan anak juga mungkin bercampur-baur.

Mungkin mereka ikut cakap emak ayah kerana sudah diasuh untuk dengar cakap emak ayah. Tidak boleh membantah!

Mungkin anak lebih suka duduk di rumah, ada emak ayah, makan pun bagus dan kalau ada adik-beradik, mereka lagi sayang untuk tinggalkan rumah.

Mungkin anak ini beranggapan emak ayah tidak sayang dan menghantar dia ke sekolah asrama.

Emosi anak mungkin semakin parah kerana pelbagai tekanan duduk di asrama termasuk jadual serta disiplin yang ketat. Semuanya sudah diatur sehinggakan hendak bangun tidur pun sudah ada waktunya.

Ini belum lagi kemungkinan dibuli bukan sahaja pelajar senior tetapi pelajar baru yang mungkin boleh menyebabkan anak tadi semakin tertekan.

Dalam soal belajar juga, anak boleh tertekan untuk mengekalkan kecemerlangan yang sudah diraih dalam peperiksaan sebelumnya, tambahan jika ada rakan yang lebih cemerlang.

Memang banyak kemungkinan yang tidak menyebelahi anak dan emak ayah diharapkan turut memikirkan perkara ini semasak-masaknya sebelum menghantar anak ke sekolah berasrama dengan mengambil kira bukan semua sekolah berasrama boleh mendatangkan masalah kepada pelajar.

Apa yang penting sekali, bincang dengan anak, selami dulu hati serta perasaan mereka supaya tidaklah nanti “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” seandainya sesuatu yang buruk menimpa si anak!

Tiada ulasan: