HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Mei 2017

AMK diminta muhasabah diri sebelum kritik PAS

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemuda PAS Terengganu meminta AMK muhasabah diri dan menyemak kembali sebab mengapa parti berteraskan Islam itu membuat keputusan untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani berkata AMK tidak seharusnya menyalahkan PAS sepenuhnya kerana perkara yang diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti itu mempunyai asas yang kukuh.
 
"Pemuda PKR sebenarnya tidak boleh mengambil sikap untuk menyalahkan PAS kerana memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR. Sepatutnya pemuda PKR itu dia perlu muhasabah atau dia selidik sikit tengok tindakan-tindakan mereka semasa masih tahalauf dengan PAS itu dahulu. 
 
"PAS memutuskan hubungan ini ada hujah dan ada sebab. Jadi saya rasa pemuda PKR tidak boleh dia nak menyalahkan PAS 100% tetapi dia kena tengok dulu tindakan yang PKR buat sepanjang tahalauf sejak beberapa tahun," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini. 
 
Dalam pada itu, Azman turut 'menasihati' AMK yang seharusnya menjadikan Kongres AMK yang berlangsung semalam itu sebagai titik perbincangan mengenai hal-hal lebih serius yang melanda parti itu dan bukannya sebagai medan untuk mengkritik PAS. 
 
"Saya nak rasakan bahawa Kongres ini lebih baik kalau kita bincang tentang dalaman kita. Kongres ini saya rasa himpunan berbentuk dalaman. Sepatutnya PKR dalam kongres ini dia lebih membincangkan bagaimana nak perkasakan parti dia, nak membetulkan kelemahan yang ada kepada parti dia yang katanya ada terlibat dengan rasuah, terlibat dengan macam-macam dalam PKR itu sendiri.
 
"PAS sudah tidak ada kena mengena dengan mereka, PKR. Saya rasa dia tidak boleh nak ambil sikap menghabiskan masa Kongres dengan menyerang PAS. Sebab itu tidak memberi apa-apa faedah kepada PKR itu sendiri," tambahnya.
 
Kedua-dua parti itu mula tidak sehaluan ekoran tindakan PKR yang tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama, dengan berada sepentas bersama sekutu politik PAS, iaitu DAP dan Amanah, dan menyerang kepimpinan parti itu.
 
Konflik PAS-PKR sampai ke kemuncaknya apabila Majlis Syura Ulama PAS membuat keputusan menceraikan PKR dengan alasan parti itu banyak mengkhianati perjanjian kerjasama di antara mereka.
 
Susulan daripada terputusnya tahaluf siyasi tersebut, berlaku krisis lain termasuk desakan perletakan jawatan tiga exco PAS di Selangor yang masih belum diputuskan sehingga hari ini.
 
PAS walau bagaimanapun masih menunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali kelak.
 
 

Tiada ulasan: