HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Mei 2017

Apa berlaku pada Rosmah di London, soal Adun DAP

 
Ini kerana menurutnya perkembangan lawatan itu tidak dapat diikuti seperti mana lawatan rasmi oleh pemimpin Selangor.


Lau-Weng-San-rosmah-di-london 

PETALING JAYA: Seorang Adun DAP berkata lawatan rasmi luar negara oleh pemimpin kerajaan Pakatan Harapan lebih telus berbanding lawatan yang diadakan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau memberi contoh lawatan dianjurkan kerajaan negeri Selangor yang boleh diikuti perkembangannya termasuk muat naik di Facebook milik menteri besar.

Sebaliknya, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San mendakwa tidak ada sebarang gambar atau laporan media mengenai lawatan Rosmah selama 5 hari ke London baru-baru ini.

“Gambar aktiviti hanya dimuat naik di Facebook kedua-dua menteri yang mengiringinya, itu pun disiarkan pada 8 Mei. Saya tertanya-tanya apa berlaku kepada Rosmah?” kata Lau, menjawab cabaran pembantu perdana menteri, Datuk Rizal Mansor supaya mendedahkan kos lawatan melibatkan Azmin dan pegawai kerajaan Selangor.

Rizal menyuruh Lau menumpukan perhatian kepada hal ehwal negeri memandangkan beliau seorang wakil rakyat negeri dan bukan ahli Parlimen.

“Sebagai Adun, tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan yang anda tanya itu berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” Rizal dipetik portal Malaysiakini menjawab tuntutan supaya kos lawatan Rosmah didedahkan.

“Bagaimana pula lawatan Azmin ke Taiwan dan Timur Tengah? Adakah mendapat liputan media antarabangsa?” soalnya lagi.

Lau berjanji akan bertanyakan soalan mengenai kos lawatan Azmin pada sidang DUN Selangor akan datang.

“Apa yang pasti, saya boleh membekalkan salinan jawapan bertulis berkenaan kos lawatan dan ekspedisi melibatkan portfolio pelaburan di bawah InvestSelangor bermula dari 2004 hingga 2014, iaitu 4 tahun pertama di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan 6 tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya, sambil mencabar Rizal dan wakil Pejabat Perdana Menteri melakukan perkara yang sama.

Rosmah yang juga penaung program Pusat Anak Permata Negara (Permata) baru-baru ini mengetuai rombongan kira-kira 40 orang ke London.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan 32 pelajar serta 6 orang guru.

Tiada ulasan: