HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Mei 2017

Asli: Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia kes terpencil

 
Malaysia masih dianggap destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat China


Tan-Sri-Michael-Yeoh


KUALA LUMPUR: Pembatalan perjanjian penjualan saham (SSA) bagi projek pembangunan Bandar Malaysia merupakan kes terpencil dan tidak akan menjejaskan hubungan 2 hala antara Malaysia dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Michael Yeoh berkata walaupun perjanjian berkenaan tidak diteruskan sebagaimana dirancang, beliau percaya Malaysia masih dianggap destinasi pelaburan yang menarik bagi syarikat China.

Beliau berkata sejak bertahun, Malaysia menarik jumlah pelaburan yang besar dari China dan mendapat banyak faedah daripada hubungan baik dengan negara berkenaan.

“Isu Bandar Malaysia tidak akan menjejaskan hubungan erat China-Malaysia, kami melihatnya sebagai kes terpencil di mana perniagaan tidak berjalan seperti dirancang,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai “Hubungan Amerika Syarikat-China dan Masa Depan Semenanjung Korea” di sini hari ini.

Perbincangan meja bulat itu menampilkan Pengerusi Persatuan Korea-Amerika (KAA) Park Jin yang berkongsi pendapat mengenainya.

Dalam kenyataan semalam, TRX City Sdn Bhd mengumumkan SSA dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd membabitkan 60% modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Mengulas mengenai prospek Bandar Malaysia, Yeoh berkata projek itu berpotensi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi masa depan.

“Projek ini akan tentunya mempunyai impak positif terhadap ekonomi kita, ia akan menempatkan terminal kereta api laju yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dan akan tentunya menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi,” katanya.

Bandar Malaysia, yang akan dibangunkan di bawah perkongsian awam-swasta merupakan projek pembangunan bandar dengan nilai pembangunan kasar terkumpul sebanyak RM150 bilion.

Projek jangka panjang itu dijangka siap dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Tiada ulasan: