HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Azmin bertemu pemimpin PAS di Sekinchan ?

DETIK DAILY



Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, dilihat mengadakan perbincangan serius dengan pemimpin PAS negeri itu di Sekinchan, pagi tadi. Azmin dan pemimpin kerajaan negeri berada di situ sempena lawatan rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke bandar berkenaan yang terkenal dengan sawah padi.


Pemimpin PAS yang kelihatan duduk bersama Azmin ialah pesuruhjaya bagi Selangor, Sallehin Mukhyi, serta tiga exco negeri iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Iskandar adalah pesuruhjaya PAS Selangor sebelum tempatnya digantikan oleh Sallehin selepas muktamar parti itu berakhir 1 Mei lalu.

Ketika menyedari Azmin sedang duduk bersama pemimpin PAS Selangor wartawan cuba medekat, namun Azmin meminta supaya mereka tidak menghampiri, sebelum beliau meneruskan perbincangan.

Perbincangan itu dilihat hanya dihadiri Azmin dan pemimpin PAS walaupun beberapa exco dan pimpinan PKR serta DAP turut hadir pada majlis berkenaan.

Ia diadakan sebelum ketibaan Sultan Sharafuddin dan berlangsung kira-kira 20 min.

Pertemuan itu diadakan ketika desakan supaya wakil rakyat PAS meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri semakin memuncak ekoran berakhirnya kerjasama politik antara parti itu dengan PKR.

PKR juga sudah mengarahkan anggotanya yang mendapat lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan serta-merta sebagai tanda tanggungjawab serta selaras dengan keputusan PAS memutuskan kerjasama politiknya.

Pertemuan hari ini dipercayai kali kedua diadakan Azmin dengan pemimpin PAS sejak kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Kali pertama mereka berbincang ialah apabila Azmin memanggil empat pemimpin PAS terbabit ke pejabatnya pada 12 Mei lalu.-M/Kini

Tiada ulasan: