HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mei 2017

Azmin Tidak Ada Keberanian Pecat 3 Exco PAS






Walaupun Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai hasrat untuk memecat tiga Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor, namun Timbalan Presiden PKR itu dilihat tidak mempunyai cukup keberanian untuk melakukan perkara tersebut.


Azmin dilihat cuba menunjukkan kuasanya dengan memanggil tiga Exco PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi untuk memberi penjelasan secara tertutup berkaitan dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.

Namun, dalam masa sama, Azmin dilihat sengaja meluangkan begitu banyak masa bersama media untuk menjawab teka-teki di sebalik pertemuan tersebut.

Belajar daripada sejarah Azmin berpolitik, beliau tidak akan meluangkan masa yang panjang bersama media jika beliau tidak mempunyai muslihat politik tertentu.

Walaupun Azmin dilihat tidak mahu berterus terang untuk menjawab kandungan pertemuan itu, namun provokasi beliau yang mengatakan ‘kecewa dengan PAS‘ dan ‘kesabaran ada batasnya’ seolah-olah beliau berminat untuk memanjang isu ini seperti isu ‘Tok Lebai’ atau mahu mengugut PAS.

“Saya dah dengar penjelasan dari ketiga-tiga exco dan pesuruhjaya PAS, saya telah memberi pandangan saya dan kita akan teliti perkara ini.

“Saya akan membawa penjelasan mereka kepada Presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang kini dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat untuk lihat apakah tindakan seterusnya,” kata Azmin

Timbalan Presiden PKR itu boleh memilih jalan pintas untuk menyekat spekulasi dihentikan serta-merta dengan mengumumkan bahawa ketiga-tiga Exco PAS dikekalkan dalam Kerajaan Negeri Selangor untuk menghormati mandat pengundi pada PRU 13, namun Azmin memilih kaedah sukar apabila menyerahkan keputusan kepada Presiden PKR.

Seperti plot yang terancang, apa yang dibincang bersama pimpinan PAS Selangor tidak sama dengan kenyataan Azmin ketika bersama media.

Lebih menghairankan hanya akhbar berbahasa Inggeris The Star sahaja yang memperolehi maklumat ekslusif melaporkan intipati pertemuan itu, di mana Azmin dilaporkan telah meminta tiga exco PAS melepaskan jawatan masing-masing sebagai ahli exco kerajaan negeri.

“Langkah ‘luar jangkaan’ oleh Azmin itu telah mengejutkan pimpinan PAS kerana parti itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri walaupun Majlis Syura telah membuat keputusan mengenai hubungan mereka yang boleh diibaratkan sebagai ‘cerai talak tiga’,”lapor The Star.

Akhbar The Star mempertahankan kandungan laporan mereka sebagai sahih dan Azmin secara peribadi tidak pernah membuat sebarang penafian atau menyelar laporan akhbar tersebut.

Lebih menarik lagi, apabila Biro Politik PKR mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Wan Azizah, Azmin pula dilihat sengaja tidak mahu dilibatkan dalam mesyuarat apabila berada di Brussels, Belgium.

Namun, sebelum beliau ke luar negara, segala laporan berkaitan pertemuan dengan PAS Selangor disampaikan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution untuk dibawa dalam mesyuarat Biro Politik PKR.

Wan Azizah dan Biro Politik PKR juga dilihat cuba melakukan provokasi dengan mengarahkan semua aktivis PKR yang memegang jawatan lantikan dalam Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Ia sebagai timbal balas terhadap PAS Selangor yang akan diputuskan kemudian oleh Azmin.

“Kedudukan PAS di dalam Kerajaan Negeri Selangor telah dibincangkan pada malam ini dan akan diputuskan pimpinan KEADILAN bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke luar negara,” kata Wan Azizah.

Dalam isu kedudukan PAS Selangor, sama ada Wan Azizah atau Azmin kedua-duanya dilihat cuba memanjangkan isu tersebut, memancing keputusan Ahli Jawatankuasa PAS pusat yang bermesyuarat pada Khamis ini dan berusaha menganggu-gugat keutuhan PAS bersandarkan umpan jawatan.

Tiada ulasan: