HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Mei 2017

Badan Peguam: Elak heret ketua hakim dengan kontroversi

MALAYSIAKINI



Tindakan melanjutkan perkhidmatan ketua hakim negara bukan sahaja "tidak mengikut perlembagaan" tetapi tidak adil bagi mengheret Tan Sri Raus Sharif dalam kontroversi berkenaan, kata Badan Peguam Peguam Malaysia.

Ini susulan laporan sebuah portal bahawa tempoh Raus dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dijangka dilanjutkan dua tahun lagi untuk memastikan kesinambungan, apabila BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan pilihan raya umum ke-14.

Presiden Majlis Peguam George Varughese berkata Artikel 121 hingga 131A dalam Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seorang hakim tidak boleh melebihi usia 66 tahun dan enam bulan.

"Mana-mana pelantikan seumpama itu adalah tidak mengikut perlembagaan," kata George.

"Ketua hakim semasa telah menyumbang kepada badan kehakiman. Adalah tidak adil kepada Yang Amat Arif, ketika di penghujung kemuncak kerjaya, beliau diheret dengan sebarang bentuk kontroversi," katanya.

Hakim Raus kini memasuki bulan ketiga daripada tempoh lanjutan perkhidmatan enam bulan selepas
mencapai umur 66 pada bulan Februari lalu.

George berkata lanjutan itu juga memberi gambaran bahawa tidak ada seorang pun dalam badan kehakiman yang mampu memegang jawatan itu.

Tiada ulasan: