HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mei 2017

Bandar Malaysia: Rakyat berisiko tanggung hutang 1MDB hampir RM42 bilion


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Pelan rasionalisasi hutang 1MDB bakal terjejas berikutan kegagalan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM7.4 bilion kepada sebuah konsortium.

Hasilnya, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, rakyat Malaysia berisiko menanggung hutang 1MDB – turut dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan – sebanyak RM41.7 bilion.

“Implikasi kemusnahan daripada kegagalan rasionalisasi berkenaan benar-benar memeranjatkan kita.

“Ini kerana 1MDB kini tidak ada lagi aset yang banyak atau wang dalam akaunnya, rakyat Malaysia selaku pembayar cukai terpaksa membayar sejumlah besar hutang tertunggak 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Hutang tertunggak itu, kata Tony termasuk:
  1. Bon 30 tahun bernilai RM5 bilion yang mana dijamin kerajaan Persekutuan, diterbitkan pada 2009.
  2. Bon 10 tahun bernilai AS$3.5 bilion yang diterbitkan pada 2012, yang mana kini dijamin oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
  3. Bon 10 tahun bernilai US$3 bilion, dijamin dengan “Surat Sokongan” yang dikeluarkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.
  4. Pinjaman berjumlah AS$1.23 bilion daripada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) pada 2015, yang dijamin MoF Inc.
  5. RM800 juta pinjaman daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO) pada 2010, yang dijamin kerajaan Persekutuan.
  6. Sukuk bernilai RM2.4 bilion yang diterbitkan pada 2013, yang mana telah diambil alih oleh MOF.
TRX City dalam kenyataan berkata perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Konsortium Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH)-China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) itu terbatal ekoran kegagalan pihak pembeli menunaikan pembayaran.

Ekoran itu, TRX City – yang dulunya dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn Bhd – kini menjadi pemegang saham tunggal dalam Bandar Malaysia.

Dalam pada itu, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, meskipun Presiden 1MDB, Arul Kanda perlu dipecat ekoran kegagalan pelan rasionalisasi hutang syarikat bermasalah itu, Najib yang juga Perdana Menteri adalah individu yang paling perlu dipertanggungjawabkan.

Ini kerana, menurut Tony, seperti yang dinyatakan dalam Memorandum dan Artikel Persatuan, dan akaun kewangan 1MDB, Najib merupakan individu rasmi terpenting dalam membuat sebarang keputusan berhubung syarikat berkenaan. 

Ia, katanya lagi, turut diperkuatkan dengan dakwaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) bahawa sejumlah AS$731 juta berpunca daripada 1MDB masuk ke akaun peribadi Najib. – Roketkini.com


Tiada ulasan: