HALAMAN SANTAI

Sabtu, 20 Mei 2017

Beli pakej penuh Astro mampu, sewa rumah tertunggak

Ainul Asniera Ahsan
 


KUALA LUMPUR – Segelintir penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Jelatek ditegur kerana tidak mampu membayar sewa sebanyak RM124 sebulan tetapi tidak pernah gagal melunaskan bayaran bil Astro dan ansuran kereta.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sewa yang dikenakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu tidak pernah berubah sejak tahun 1998 sehingga sekarang.

“Harga sayur pada tahun 1998 lain, sekarang sudah naik. Begitu juga dengan harga sepapan telur, dulu lain, hari ini sudah naik.

“Harga bilik sewa di Kampung Baru dulu RM50 hingga RM150, sekarang sudah RM400. Tapi di PPR harga tidak naik. Itu pun cakap macam-macam terhadap Barisan Nasional,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan van jenazah PPR Jalan Jelatek di sini.

Johari berkata, dengan harga RM124 sebulan, penghuni PPR sebenarnya hanya dikenakan bayaran sebanyak RM4 sehari. Kalau satu keluarga ada enam orang bermakna tidak sampai RM1 kadar menginap sehari untuk seorang.

Menurut Johari, beliau bukan tidak boleh membantu penghuni yang ada tunggakan daripada diminta keluar oleh DBKL tetapi pertimbangan perlulah diberikan kepada individu yang layak memohon.

“Saya bukan tidak menyokong permohonan bantuan tetapi kalau 20 surat permohonan bantuan yang dipanjangkan kepada Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya dua yang dibantu, macam mana?.

“Macam mana agensi-agensi ini hendak bantu kalau penghuni mampu beli pakej penuh Astro, televisyen pula beli yang nipis, mampu beli telefon bimbit dan sebagainya,” tambah beliau.

Johari berkata, penghuni PPR perlu tahu keutamaan dalam perbelanjaan dan kena belajar mengurus kewangan dengan betul.

“Kalau sudah tidak boleh pandang duit, beli tabung gajah. Setiap hari masukkan duit sebanyak RM4 sehari. Sebulan cukup RM124 dan boleh bayar sewa rumah.

“Jika asyik minta saya surat sokongan untuk dilanjutkan kepada DBKL, mereka (DBKL) pun marah. Seolah-olah saya menggalakkan tunggakan bayaran sewa, sedangkan DBKL juga perlukan pendapatan,” kata Johari. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: