HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Belum setahun, Dzulkifli gerakkan bersih rasuah besar-besaran


Oleh The Malaysian Insight
Belum setahun, Dzulkifli gerakkan bersih rasuah besar-besaran
Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad dilantik kurang setahun lalu dan berikrar melakukan segala-galanya yang boleh untuk menumpaskan rasuah di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
BELIAU boleh dikatakan sebagai orang yang paling ditakuti di Malaysia.

Beliau menyebabkan polis lama takut. Penjawat awam kanan tertanya-tanya adakah mereka akan menerima panggilan telefon yang mengerikan atau kunjungan awal pagi.

Dan ahli politik gabungan pemerintah tertanya-tanya adakah insan yang sangat fokus dan bersemangat waja itu akan menyusahkan mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Inilah Dzulkifli Ahmad, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau menjadi pejuang tertinggi rasuah di negara ini setahun lalu selepas lama berkhidmat di Pejabat Peguam Negara dan seperti kebanyakan individu baru dilantik, beliau mengeluarkan amaran biasa yang sudah muak didengar rakyat Malaysia: akan melakukan segala-galanya yang boleh untuk menumpaskan rasuah di negara ini, dan sebagainya.

Jadi apabila SPRM mula bergerak dan menangkap penjawat awam dan ahli perniagaan kerana salah guna kuasa dan rasuah, rakyat Malaysia buat tidak peduli saja. Mereka pernah lihat pertunjukan seperti itu sebelum ini.

Ketika pentadbiran Abdullah, agensi itu juga bergerak pantas dan memburu ikan besar dan kecil. Tetapi selepas menerima tekanan daripada “warlords” Umno, kempen tangani politik wang semakin lama semakin surut.

Ramai rakyat Malaysia menjangkakan semangat awal Dzulkifli yang berkobar-kobar itu akan akhirnya padam. Tetapi mengejutkan, ia tidak padam.

Penghujung tahun lalu, pegawai kanan Jabatan Air Sabah ditahan dan lebih RM1144 juta tunai, amanah saham dan hartanah dirampas oleh pegawai SPRM.

Pegawai jabatan air negeri itu juga dikatakan mengumpul kekayaan mereka dengan memberikan kontrak kepada syarikat yang dimiliki ahli keluarga sendiri. Mereka didakwa atas kesalahan pengubahan wang haram.

Mereka ialah bekas pengarah Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 54, dan isterinya Fauziah Piut, 51. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan mengubah wang haram membabitkan RM59.1 juta.

Mereka juga minta dibicarakan bagi dua pertuduhan memiliki 575 barang kemas dan 346 barang berharga lain.

Timbalan pengarah yang sudah bersara Lim Lam Beng, 62, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.38 juta.

Kes mereka masih tertangguh di mahkamah. Pada Januari, ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman dan dua anak lelakinya juga ditahan dalam satu operasi anti rasuah.

Pegawai SPRM mengambil masa 12 jam menggeledah rumah Arif dan menemui jongkong emas, 150 beg tangan mewah, jam berjenama dan mata wang asing.

Jongkong emas, mata wang Australia dan Euro yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM3 juta. Beg tangan berjenama luar negara yang dirampas termasuk Chanel, Hermes, Dior, Louis Vuitton dan Gucci.

Tetapi pada Februari, Arif dan anak lelakinya Ahmad Zulkhairi didakwa di mahkamah sesyen dengan hanya kesalahan menerima rasuah S$200,000 (RM550,000), berkaitan projek pembekalan sistem solar hibrid dan elektrik.

Sebanyak 11 anggota polis turut ditahan minggu lalu kerana rasuah, dengan wang RM800,000 ditemui di rumah seorang anggota berpangkat koperal.

Sementara semua kes itu membabitkan penjawat awam, SPRM di bawah Dzulkifli juga menyasarkan ahli politik.

Setakat ini, ahli politik berpangkat paling tinggi ditahan ialah Mohd Yusof Abu Hasan dan dikenakan empat pertuduhan pecah amanah dan 11 pertuduhan lagi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan.
Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ahli politik Umno Melaka itu ialah bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Melaka Idris Haron dan popular dikenali sebagai Yusof Soros.

Pertuduhan rasuah itu membabitkan sejumlah RM19.3 juta dengan RM8.1 juta ialah transaksi di bawah tuduhan pengubahan wang haram, sementara bakinya RM11.2 juta membabitkan pertuduhan pecah amanah.

Beliau berikrar untuk tidak berhenti dan akan ada lagi orang yang akan ditangkap dan didakwa di mahkamah setiap minggu.

Malaysia menunggu dan melihat adakah beliau mampu membasmi rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik.

Tidak semua orang suka dengan tindakan SPRM memalukan penjawat awam.

Dalam senyap, semakin ramai ahli politik Umno bimbang dengan tumpuan melampau terhadap penjawat awam boleh menjejaskan parti pemerintah pada PRU14.

Kebimbangan mereka memang berasas kerana penjawat awam kini mula merungut tidak adil hanya mereka dijadikan sasaran, jadi kerajaan Najib boleh menggilap calon mereka yang anti rasuah menjelang PRU14.

Pengundi daripada sektor awam secara tradisinya ialah penyokong BN dan pakar strategi Umno tahu, keadaan akan jadi teruk jika penjawat awam terus dijadikan kambing hitam.

Bagi pihak mereka, penjawat awam keliru kenapa hanya sedikit ahli politik ditangkap dalam operasi SPRM, terutama sejak pembanteras rasuah itu memburu mereka yang hidup mewah melebih kemampuan.

The Malaysian Insight difahamkan Perdana Menteri Najib Razak sedar kebimbangan itu tetapi setakat ini membiarkan Dzulkifli terus menjalankan tugasnya.

Soalan cepu emas ialah: Adakah tangkapan dan pendakwaan oleh SPRM ini akan berterusan atau adakah ia akan ditarik balik oleh “sistem” yang terlalu berkuasa? –


Tiada ulasan: