HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Mei 2017

Biar tin Milo jadi saksi di hadapan Allah





 
Oleh DR AZMAN IBRAHIM

"DR... sampai bila PAS nak bergantung kepada kutipan derma untuk biaya aktiviti parti?" Tanya seorang kawan yang tak terlibat dalam mana-mana organisasi parti.

Sampai kiamat Syeikh! Selagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ini ada dan perjuangannya teguh atas dasar Islam, maka selagi itulah mereka yang cintakan perjuangan Islam akan terus menghulurkan derma selama mana ada bulan dan matahari.

Walau PAS dah perintah Kelantan, ahli dan penyokong PAS Kelantan terus menderma. Ketika PAS perintah Terengganu dan Kedah, ahli PAS di kedua-dua negeri ini terus menderma.

Saya tertarik bila dimaklumkan di Muktamar Alor Setar baru-baru ini bahawa PAS Kedah melancarkan kempen derma 50 sen sehari bagi setiap ahli PAS di Kedah untuk menyiapkan bangunan Kompleks PAS Kedah yang berharga sekitar RM2 juta.

Dalam masa yang sama jangan ingat PAS debek sangat dan bergerak semata-mata dengan derma orang ramai. PAS juga ada aset-aset berharga yang menjadi sumber pendapatan. Kalau pergi beli belah di Mydin Kuala Ibai, Kuala Terengganu, cuba tanya bangunan pasar raya itu siapa pemiliknya.

Derma antara sebab menjadikan ahli PAS rasa bahawa mereka adalah sebahagian dari parti. Ahli PAS majoritinya lebih berfikir untuk memberi dan bukannya untuk menerima. Jatuh bangun parti ini adalah hasil dari pengorbanan susah payah ahli. Malah saya biasa dengar ada ahli PAS yang hadir ke tempat ceramah bersungut hampa apabila dalam majlis tersebut tak dibuat kutipan derma. Mereka dah siap bawa duit untuk derma.

Semasa Himpunan Fastaqim H60k di Kota Bharu tahun lepas, seorang sahabat hampa apabila pemungut derma tak sampai ke tempat dia berada. Lalu 'nak lepas geram' dia masukkan beberapa keping note RM50 ke dalam tabung sebuah masjid yang dia singgah solat dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke Dungun.

Ibarat sebuah masjid yang siap dibina oleh kontraktor dengan peruntukan kerajaan dibandingkan sebuah masjid yang dibina secara gotong-royong melalui kutipan derma. Tentu sekali ikatan hati kita dengan masjid yang dibina hasil susah payah sendiri akan lebih dekat dan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.

Malah derma bagi orang PAS bukan sekadar dengan duit. Mereka bagi sumbangan lembu, kerbau dan kambing untuk disembelih bila ada program besar. Mereka hulur beras, kelapa, sayur, rempah ratus untuk kenduri. Mereka wakafkan kereta untuk kegunaan parti. Mereka beli komputer dan perabut untuk pejabat parti. Mereka wakafkan tanah untuk dibina premis parti. Mereka hulur simen, pasir dan batu-bata bila PAS nak buat bangunan. Yang ada kemahiran, mereka hulurkan sumbangan tenaga secara percuma. Belum lagi dikira yang diberi pinjam untuk kegunaan program parti secara percuma.

Bila kita nak buat jamuan laksa sambil menderma, ada tokey laksa yang marah sebab tak bagitahu dia. Sebabnya dia nak bagi 200 kg laksa secara percuma saja. Tokey ikan akan hulur ikan secara percuma untuk buat kuah laksa.

Ada sahabat yang kerja jual tanah lot. Ada 4 lot tanah, 3 lot untuk dia dan baki 1 lot untuk parti. Ada sahabat kerja jual gas. Hasil jualan setiap tong gas, 10 sen dia peruntukan untuk parti. Ada sahabat yang buka car wash. RM1 bagi setiap kereta yang dicuci dia masukkan dalam tabung parti. Ada sahabat yang kerja doktor gigi. Paginya dia kerja doktor gigi, petangnya habis duit hasil cabut gigi dibelanjakan untuk parti.

Ada yang masukkan RM2 dalam tabung sebab dia cuma kerja NGO (Nnoreh Getah Orang). Ada pula seorang sahabat Jabi yang berkemampuan membelanjakan lebih 50k seorang diri untuk biaya pengundi luar Jabi ketika PRU 13.

Biarlah orang hina kita dengan pelbagai gelaran termasuklah gelaran parti tin milo. Dengan izin Allah, tin milo tersebut akan jadi saksi di hadapan Allah nanti.

Tak betul tuduhan ahli parti bagi derma untuk pemimpin bermewah-mewah. Saya dah diamanahkan pegang jawatan dalam parti dari peringkat DUN, Kawasan, Negeri dan sekarang di PAS Pusat. Kita tak dibayar elaun dari mana-mana sumber apatah lagi dari duit derma walau 1 sen. Kalau ada bukti pemimpin yang makan duit derma, tolong adukan secara rasmi untuk tindakan Lembaga Disiplin PAS. Jangan main serkap jarang begitu.

Tiada ulasan: