HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mei 2017

‘Bukan AMANAH tak sedar diri, tapi PAS parti terhegeh-hegeh’

MALAYSIAKINI


Parti Amanah Negara (AMANAH) menafikan dakwaan PAS bahawa ia sebuah parti politik yang dianggotai oleh wakil rakyat yang tidak sedar diri tentang kedudukan mereka.

Sebaliknya, kata Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, PAS yang masih terhegeh-hegeh dan menagih kasih dengan kerajaan Selangor sedangkan, mereka sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

“Bagi saya, PAS yang masih terhegeh-hegeh lagi untuk menagih kasih lagi bersama PKR.
“(Ini kerana), dalam Muktamar PAS baru-baru ini telah membuat keputusan, iaitu PAS telah bercerai dengan PKR.

“Jadi, apa yang Tuan Ibrahim nak tunggu lagi (setelah keputusan yang dibuat oleh Muktamar PAS),” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa AMANAH sebagai parti yang tidak bermaruah apabila meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya merombak pentadbiran negeri itu.

Sedangkan, kata pemimpin kanan PAS itu yang dipetik Utusan Malaysia, wakil-wakil rakyat AMANAH dipilih atas tiket parti Islam itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Sinar juga melaporkan Salahuddin sebagai berkata, PAS ketika ini bukanlah sebuah parti demokratik, seperti sebelum ini.

Ini kerana menurutnya, PAS tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh muktamarnya sendiri berhubung keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Keputusan (mengenai perihal tahalul siyasi di antara PAS dengan PKR) telah dibuat. Yang saya faham, Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi dalam perlembagaan PAS.

“Jadi, adakah perlu menunggu keputusan Majlis Syura (berhubung perkara itu). Jadi, saya nampak parti ini bukannya parti yang demokratik,” katanya.

PAS bulan lalu sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

Parti itu kini masih menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR, dengan tiga wakilnya dilantik sebagai exco.

Langkah itu jika diluluskan Majlis Syura Ulama bakal memberi kesan terhadap kedudukan exco PAS di bawah pentadbiran Azmin.


Tiada ulasan: