HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

China masih waspada dengan Malaysia, kata MP

MALAYSIAKINI


Kegagalan Putrajaya untuk menjamin sebarang bentuk komitmen daripada Kumpulan Dalian Wanda dari China bagi membangunkan Bandar Malaysia menunjukkan warga China masih berwaspada dengan Malaysia, kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.

Lim berkata bukti itu ditunjukkan dengan pendirian tanpa komitmen oleh pengasas Dalian Wanda,
Wang Jianlin semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing baru-baru ini.

"Mungkin pentadbiran Najib tidak pernah mendengar pisang takkan berbuah dua kali.

"Berapa kali mereka mengharapkan untuk menipu masyarakat perniagaan China dengan projek kontroversi Bandar Malaysia?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Wang mungkin bimbang perjanjian dengan Putrajaya akan mengalami nasib yang sama seperti perjanjian Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation (IWH-CREC).

"Selain itu, kumpulan Dalian Wanda merupakan antara konglomerat terbesar di dunia dan mereka tidak mempunyai sebab untuk terlibat dengan projek Bandar Malaysia, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB," katanya.

Projek Bandar Malaysia, yang merangkumi keluasan kira-kira 200 hektar, terletak di bekas lapangan terbang Sungai Besi dan digambarkan sebagai sebuah daerah kewangan dengan teknologi moden.

Kerajaan menjual tanah kepada 1MDB pada tahun 2010. Syarikat itu yang kini dibebani dengan hutang berbilion ringgit, cuba untuk menjual tanah bagi menangani masalah aliran tunai.

IWH-CREC memasuki perjanjian untuk membangunkan Bandar Malaysia tetapi perjanjian itu dibatalkan oleh Putrajaya pada awal bulan ini, walaupun konsortium itu telah membayar deposit lebih daripada RM700 juta.

Tiada ulasan: