HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Mei 2017

DAP rakan yang angkuh, berisiko jika Pas jadikan kawan

Wartawan MalaysiaGazette
Ahmad Fadhli Shaari

KOTA BHARU – Dewan Pemuda Pas Pusat menyifatkan memiliki rakan yang terkenal dengan ‘keangkuhan’ iaitu DAP amat berbahaya dan berisiko.

Naib ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka lebih rela berhadapan musuh yang ‘menampar muka’ secara berdepan daripada memiliki rakan yang ‘menikam’ dari belakang.

Beliau turut menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menyifatkan Pas telah berkawan dengan UMNO kerana berada di atas pentas dalam beberapa isu terpencil.

“Bermusuh dengan UMNO sehingga tidak boleh sama sekali pemimpin Pas sepentas dengan pemimpin UMNO (walaupun tuan (Guan Eng) sendiri kelihatan makan semeja dan ia halal di sisi tuan dan rakan-rakan).

“Itu belum mengambil kira pelbagai serangan yang ditujukan oleh tuan kepada Pas ketika kehangatan Pas bermuktamar.

“Bukankah tuan yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas pada ketika kita masih bergelar ‘rakan’?
Bukankah itu namanya tikam belakang ketika seluruh ahli Pas sedang menumpukan perhatian untuk bermuktamar?,” katanya dalam laman facebooknya di sini hari ini.

Dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-63 di Kedah, Perwakilan Pulau Pinang, Yusni Mat Piah dilaporkan berkata, bahawa BN bukan lagi musuh utama Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebaliknya DAP kerana parti itu secara jelas menentang agenda Islam.

Susulan itu, Guan Eng semalam dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Pas mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama menunjukkan parti itu ‘sesat’ dalam berpolitik dan situasi tersebut akan menguntungkan BN.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, DAP yang sebenarnya tersesat jauh sehingga turut mengheret sama beberapa pihak di dalam PAS dan timbulnya parti serpihan, PAN.

“Namun, apabila tuan (Guan Eng) menyatakan bahawa Pas telah ‘sesat’ semata-mata kerana mengganggap DAP sebagai musuh utama, maka ia memerlukan kepada sedikit pembetulan.

“Hakikat yang sebenarnya, tuan lah yang telah sesat sebelum ini sehingga turut sama mengheret beberapa pihak yang sebelum ini di dalam Pas untuk ikut sama tersesat,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: