HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

Disindir ‘tok lebai’, ulama PAS ingatkan Azmin jangan celupar



Ulama PAS Selangor akui mereka rasa seperti mahu memutuskan hubungan dengan PKR selepas disindir timbalan presiden PKR itu.


Nik-Bakri-Nik-Mat_azmin-ali_pas_pkr_600


ALOR SETAR: Ulama PAS Selangor mengakui mereka rasa seperti mahu memutuskan hubungan dengan PKR selepas disindir ‘tok lebai’ oleh timbalan presiden parti reformasi itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, pembahas perwakilan Ulama PAS Selangor, Nik Bakri Nik Mat berkata mereka memutuskan untuk tidak mendahului keputusan pucuk pimpinan parti, dan cuba berlapang serta bersabar dengan tindakan menteri besar Selangor.

Azmin membuat sindiran itu selepas Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengesahkan rancangan presiden mereka, Datuk Seri Hadi Awang menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Kami sebagai ulama Selangor melihat atas dasar kadar kemampuan, kedaifan ilmu apabila para ulama dihina, bagaimana menteri besar Selangor baru-baru ini daripada PKR menghina dengan bahasa ‘lebai’.

“Maka bagi kami tidak ada sesuai yang boleh kami terima bahkan kami nak putus segera kerana dari segi politik menyinggung kawan itu perkara biasa tetapi bila mana singgung ulama itu satu penghinaan.

“Bagi kami telah buat keputusan tetapi kami tidak mahu mendahului pucuk pimpinan yang ada,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed sempena mesyuarat agung tahunan ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Alor Setar, hari ini.

Nik Bakri kemudian menasihatkan Azmin supaya tidak mengulangi tindakan menghina ulama.

“Atas nama Islam, kami Ulama Selangor manasihati menteri besar PKR Azmin tolong pada masa akan datang jangan celupar mulut menghina alim ulama,” katanya.

Pada 21 Mac lalu, Azmin menulis twit “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur”, dipercayai sebagai reaksi kenyataan Nik Abduh.

Nik Abduh mengesahkan PAS mahu menawan Selangor, selepas video memaparkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyasarkan negeri itu selain selain Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perak.

Nik Abduh sebelum itu tewas dalam pemilihan kawasan Pengkalan Chepa untuk jawatan timbalan yang dipertua PAS kawasan.

Selangor dipimpin PKR, bersama-sama PAS dan DAP, hasil daripada persetujuan yang dicapai pada pilihan raya umum sebelum ini.

PKR mengekalkan kerjasama dengan PAS, yang bermusuhan dengan 2 parti komponen Pakatan Harapan, DAP dan Amanah.

Mesyuarat agung tahunan PAS ke-63 yang sedang berlangsung ketika ini menarik perhatian pemerhati politik kerana ia akan menentukan nasib kerjasama antara PAS dan PKR.

Hari ini, Nik Bakri meminta pucuk pimpinan ulama PAS supaya menetapkan pendirian mengenai kerjasama itu.

“Kami mohon sejujurnya, kami tidak mahu gopoh, tetapi kami perlukan satu pendirian dari Dewan Ulama PAS pusat.

“Kita tengok bila berlaku PRK Sungai Besar terang-terangan PKR menyebelahi Amanah, bagaimana kita nak teruskan (hubungan) sebab dihadapan mata kita rakan setia kita lawan kita,” katanya.

Tiada ulasan: