HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mei 2017

Dua generasi gilakan Coca-Cola


Dengan bermula dari sebotol dan setin air Cola-Cola yang saya dapat pada 1976, sedar-sedar koleksi kini dah mencecah 50,000

Shanika Abdul Latib

ALOR SETAR: Menjengah bilik khas yang terdapat di tingkat atas rumah kedai milik Lee Choon Chiek yang hiasannya didominasi palitan warna rasmi tanda Coca-Cola menjadi saksi kepada hobi luar biasa lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini.

“Inilah syurga kecil saya di dunia ini. Dengan bermula dari sebotol dan setin air Cola-Cola yang saya dapat pada 1976, sedar-sedar koleksi saya kini dah mencecah 50,000,” kata lelaki berusia 57 tahun ini.

Membelek botol model keluaran pertama Coca-Cola pada 1899 yang diperbuat dari kaca, anak jati Pumpong, Jalan Anak Bukit, Alor Setar ini mengakui koleksi yang dimilikinya seumpama mesin merentas masa.

Ungkap Choon Chiek, setiap botol, tin, hiasan atau permainan yang kini berada di dalam bilik khas itu mempunyai cerita yang tersendiri, sekali gus menjadikannya sesuatu yang tidak dapat ditukar ganti dengan wang.

Bercerita lanjut, antara koleki kesayangan yang paling bernilai di dalam hatinya ialah, sebotol Coca Cola keluaran khas sempena perkahwinan mendiang Puteri Diana dan Putera Charles yang berlangsung pada 29 Julai 1981 di St Paul’s Cathedral, London.

“Ia dihadiahkan oleh kawan saya yang kebetulan bercuti ke bandar itu sewaktu perkahwinan Diraja tersebut berlangsung.

“Terdapat banyak tanda mata perkahwinan Diraja yang dijual merata-rata di London ketika itu tetapi sebaik saja melihat botol Coke ini, dia terus teringatkan saya.

“Dia membelinya lalu mengeposnya kepada saya sebagai kejutan,” jelasnya yang kini memiliki lebih 5,000 botol Coca-Cola pelbagai rekaan dan bentuk.

Perjalanan lelaki yang realitinya tidak minum air minuman bergas itu, dalam mengumpul barangan jenama antarabangsa itu juga menemukannya dengan beberapa nama hebat dalam industri itu.

“’Pada 2012, saya mendapat jemputan ke perkahwinan anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Coke Thailand. Pada majlis itu, tetamu menerima cenderahati istimewa di mana tin Coke berwarna perak yang diberi, mempunyai cetakan nama dan tarikh perkahwinan berkenaan.

“Apa yang menarik,  bekas minuman itu hanya dikeluarkan sebanyak 100 tin sahaja,” katanya dengan teruja.
Miliki koleksi lengkap acara sukan dan atlet pada setiap olimpik

Akui Choon Chiek lagi, rak yang dibina sendiri hingga ke siling itu juga menyaksikan koleksi botol dan tin minuman tajaan Coca-Cola yang dikeluarkan saat berlangsungnya temasya sukan di pelbagai peringkat di serata dunia.

“Namakan saja. Piala Dunia, Sukan Sea, Commonwealth hinggalah Olimpik yang menampilkan cetakan, bentuk, material tin dari aluminium atau botol kaca yang pelbagai, semuanya berada di rak ini.

“Lebih istimewa, bagi sukan SEA dan Olimpik, saya mempunyai koleksi lengkap acara yang dipertandingkan malah gambar atlet yang terpilih bagi cetakan khas pada tin bagi kejohanan tersebut,” katanya.

Bagi anak tunggalnya, Jian Wen, 25, dijangkiti kegilaan ayahnya terhadap Coca-Cola membuatkan dia istimewa di kalangan rakan sekolah kenalannya.

“Sejak dilahirkan, benda pertama yang saya lihat dan kenal adalah warna merah dan putih yang melambangkan Coca Cola. Memang kelakar tetapi di sebalik kegilaan ini, perkara penting yang diajar ayah melalui hobi ini adalah sikap menghargai benda,” jelasnya.

Ujarnya, sikap menghargai itu membuatkan dia dan ayahnya tidak memilih barangan Coca Cola yang diterima oleh rakan atau yang dijumpai walaupun di tempat kitar semula asalkan ia berada di dalam keadaan baik.

Koleksi bernilai tinggi

Bagi mereka, jika pada masa sekarang nilainya mungkin tidak sampai RM1 pun, mungkin pada masa akan datang, nilainya mampu mencecah hingga ratusan malah ribuan ringgit terutama yang masih mempunyai isi airnya.

“Disebabkan nilai itulah, kami sering dipujuk oleh pengumpul Coca Cola yang lain untuk menjualkan beberapa koleksi kepada mereka. Untuk jualan, ia bergantung kepada jumlah barangan dan siapa yang memintanya.

“Jika kami ada lebih dan orang yang meminta itu adalah kenalan rapat, kami akan menjualnya dengan cara sistem barter,” jelasnya.

Berkongsi cerita mengenai penjagaan dan pengurusan koleksi yang mencecah puluhan ribu itu, Jian Wen menjelaskan bilik khas itu perlu sejuk bagi mengelakkan air yang terdapat di dalam setiap tin dan botol tidak mengeluwap dan akhirnya meletup.

“Sudah beberapa kali insiden letupan berlaku disebabkan keadaan panas yang disebabkan cuaca. Jadi, kami akan membuka penghawa dingin mudah alih di dalam bilik ini selama beberapa jam pada setiap hari.

“Tipu jika kata tidak sedih melihat tin yang kemek atau botol yang sumbing tetapi kami anggap itu sebagai cabaran,“ katanya.

Jian Wen yang mempunyai perniagaan sendiri turut menjelaskan dia kini berazam untuk membuka muzium koleksi barangan Coca Cola terbesar yang pertama di Kedah malah di Malaysia.

“Kini saya dalam proses mengumpul duit untuk membeli rumah untuk membuka muzium impian kami berdua. Dalam masa yang sama, saya juga mengkaji cara terbaik untuk memastikan muzium tersebut sentiasa mampu menarik kunjungan orang ramai,” jelasnya

Tiada ulasan: