HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Mei 2017

Dua minggu untuk keputusan hubungan tahaluf siyasi PAS dan PKR


KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada hubungan kerjasama politik antara PAS dan PKR akan diteruskan atau diputuskan akan diketahui dalam masa dua minggu lagi, kata Setiausaha Majlis Syura Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Nik Muhammad Zawawi berkata, bagaimanapun tiada tarikh lagi dinyatakan untuk pertemuan Majlis Syura Ulama berkenaan.

“Belum ada tarikh lagi, tapi ia akan diadakan dalam masa seminggu dua ini sebab kita pun baru habis muktamar,” katanya.

Usul untuk memutuskan hubungan antara PAS dengan PKR yang diluluskan di Muktamar PAS ke-63, Ahad lalu.

Perwakilan di Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah sebulat suara menyokong usul memutuskan hubungan politik dengan PKR selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, Zulkifli Ismail.

Sebaik sahaja selesai perbahasan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan, ‘setuju’ beramai-ramai.

Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan PAS, Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan) sebagai hujah agar parti Islam itu memutuskan hubungan politik dengan PKR.


Keputusan itu dijangka bakal memberi kesan kepada kedudukan PAS di Selangor memanangkan terdapat ahli dan pimpinan parti Islam itu dalam pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PKR melalui Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Tiada ulasan: