HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

Dun Pulau Pinang tolak usul minta ketua menteri bercuti

 BERNAMA

Lim Guan EngLim Guan Eng


Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini menolak usul wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang meminta Ketua Menteri Lim Guan Eng bercuti berikutan kes rasuah yang dihadapinya.

Usul yang dibawa Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) itu ditolak Speaker Datuk Law Choo Kiang atas alasan teknikal.

Law ketika menolak usul itu berkata isu itu tidak perlu dibincangkan dalam persidangan dewan kerana perkara-perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997.

"Saya sudah ambil masa yang lama untuk buat keputusan ini...saya tidak perlu mengulas lanjut malah kalau saya nak tolak pun saya boleh tolak secara teknikal,” katanya.

Usul yang dikemukakan Muhammad Farid itu menyebut bahawa mana-mana anggota pentadbiran Pulau Pinang dan Penjawat-penjawat Awam di negeri Pulau Pinang yang telah didakwa di mana-mana mahkamah atas kesalahan jenayah di bawah mana-mana undang-undang Malaysia hendaklah mengambil cuti daripada jawatan yang dipegang sehingga perbicaraan ke atasnya selesai dan dimuktamadkan.

Muhamad Farid pada sidang akhbar mengenai perkara itu mendakwa Speaker melakukan kesilapan dalam merujuk fasa ketika menolak usul itu.

"Usul itu dibawa di bawah peruntukan Fasa 31 peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri tetapi Speaker menggunakan Perlembagaan negeri Pulau Pinang untuk menolak usul itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid pada sidang akhbar sama berkata semua wakil rakyat BN hari ini memakai reben putih sebagai tanda prinsip CAT (cekap, amanah dan telus) kerajaan DAP Pulau Pinang telah mati.

"Ketelusan dah tak ada, banyak usaha telah dilaksanakan untuk menutup mulut kami (wakil BN) dengan menolak usul-usul yang kami buat...kebebasan bersuara di dalam dewan dah tiada,” katanya.

Terdahulu di dalam dewan dua wakil rakyat iaitu RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dan Datuk Shah Headan Ayoob Shah (BN-Teluk Bahang) diarah keluar dewan untuk sesi hari ini berikutan
pertikaman lidah antara mereka ketika Datuk Salleh Man (Pas-Permatang Pasir) membahaskan usul terima kasih ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Tiada ulasan: