HALAMAN SANTAI

Jumaat, 12 Mei 2017

Exco PAS, MB Selangor masih ‘mesra’ selepas putus hubungan

 
Azmin Ali dilihat berbual mesra dengan Ahmad Yunus Hairi, sekali gus menepis berlaku persengketaan antara PAS dan PKR di Selangor, susulan keputusan memutuskan hubungan dengan parti reformasi itu.


azmin 

RAWANG: Exco PAS dan menteri besar Selangor hari ini dilihat masih “bersama” selepas keputusan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, semalam.

Dua exco PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghadiri Majlis Perasmian Masjid Perodua oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bukan itu sahaja, Azmin juga dilihat berbual mesra dengan Yunus, sekali gus menepis berlaku persengketaan antara PAS dan PKR di Selangor, susulan keputusan parti Islam itu semalam.

Pagi tadi, Azmin ketika ditemui wartawan berkata, beliau kecewa dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Beliau berkata, tindakan PAS itu membelakangi aspirasi rakyat yang mahukan perubahan dalam negara.

“Saya kecewa kerana keputusan itu dibuat PAS sendiri,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan 3 exco PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri yang baru, Sallehen Mukhyi, pagi tadi.

Semalam, Majlis Syura Ulama PAS meluluskan usul menamatkan hubungan dengan PKR yang dibuat di Muktamar PAS ke-63 di Kedah pada 30 April lalu, dengan menyenaraikan 3 pelanggaran dilakukan parti reformasi itu.

“Antara pelanggaran tersebut ialah tidak menyokong, malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355,” kata Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh Zawawi, merujuk rang undang-undang persendirian dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“PKR juga dilihat bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan. Malah, menentang PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.”

Selain 3 exco PAS, iaitu Ahmad, Zaidy dan Datuk Iskandar Abdul Samad, parti Islam itu mempunyai ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan. Timbalan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor juga daripada PAS.

Selepas perpecahan dan peletakan jawatan atau pemecatan, kedudukan di Selangor sekarang menyaksikan PKR mempunyai 12 kerusi, DAP (14), PAS (13), BN (12), Amanah (2) dan Bebas (2)
 
 
 

Tiada ulasan: