HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Mei 2017

Exco PAS perlu 'gentleman' lepas jawatan - Rodziah

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor perlu menjadi ‘gentleman’ dalam membuat keputusan bersabit kedudukan Exconya selepas terputusnya hubungan tahaluf siyasi bersama PKR seperti yang dimuktamadkan Khamis lepas.
 
Menurut ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail, PAS Selangor sepatutnya lebih tahu risiko yang bakal dihadapi Exco mereka dalam pentadbiran kerajaan Selangor.
 
“Sebagaimana yang kita tahu, keputuskan untuk batalkan tahaluf siyasi ni bukan dibuat oleh Keadilan (PKR), ianya dibuat oleh PAS. Jadi ‘gentlemennya’ pihak PAS kena fikir masak-masak bila dia kata batalnya hubungan antara Keadilan dengan PAS, risikonya kedudukan exco-exco kerusi di Selangor ni.
 
“Kena gentleman, maksudnya pihak PAS bila dia buat keputusan, dia pastinya kena faham risikonya tetapi saya yakin apa pun Pakatan ini seboleh mungkin kami telah cuba pegang selama mana dari krisis 2014 sehingga kini kita masih mengatakan kita tidak ada masalah pada peringkat pentadbiran negeri," katanya kepada Antarapos.
 
Namun katanya, keputusan mengenai kedudukan tiga Exco PAS di Selangor masih belum dimuktamadkan dan perbincangan mengenai perkara tersebut bakal dibuat dalam masa terdekat.
 
“Tetapi apa pun saya nak bagitahu bagi pihak Keadilan (PKR), kita belum buat keputusan akhir lagi, kami masih melihat sekarang ni pilihanraya dah nak dekat. Jadi kita lebih penting kepada bagaimana urusan-urusan rakyat ni wajar diteruskan dan harus diberi keutamaan.
 
“Saya yakin mungkin dalam masa terdekat pihak Keadilan sebab Datuk Seri Wan Azizah juga baru pulang dari Amerika, dan saya yakin sehari dua ni ada perbincangan tentang kedudukan mereka," ujar beliau.
 
Terdahulu, memetik sumber sebuah portal berita, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali meminta tiga Exco PAS di Selangor itu perlu meletakkan jawatan mereka.
 
Ia dikatakan sebagai satu permintaan ‘mengejut’ terhadap ketiga-tiga exco itu semasa mesyuarat selama satu jam diadakan di antara Azmin dan tiga exco tersebut.
 
Tiga Exco PAS di Selangor yang dimaksudkan ialah Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.  
 
 

Tiada ulasan: