HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

Exco PAS perlu kekal sehingga PRU14 - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
SHAH ALAM: Exco PAS Selangor perlu dikekalkan sehingga pilihan raya Umum (PRU) akan datang meskipun hubungan tahaluf siyasi PAS-PKR telah diputuskan, demikian tegas Penganalisis Politik, Dr Salawati Mat Basir.
 
Salawati berpandangan, desakan agar exco berkenaan meletakkan jawatan dianggap sebagai tidak adil memandangkan mereka diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu, iaitu sebelum terputusnya hubungan dua parti itu lagi.
 
“Untuk tidak mencacatkan perjalanan ataupun apa yang telah dirangka oleh mereka, harus difahami bahawa perlantikan mereka sah mengikut undang-undang negeri dan perlembagaan maka kalau mereka itu putus, itu putus di dalam parti tapi masih lagi mereka ini sah dari segi undang-undang.
 
“Jadi kalau mereka tak nak letak jawatan, atau mereka dipaksa letak jawatan, ia adalah satu perkara yang tidak adil.
 
“Biarkan sahaja mereka terus di situ sehingga PRU, sehingga dibubarkan jadi kalau dah dibubarkan, tak mengapalah, tiada masalah, jadi hanya kerana perkara-perkara 'simple' seperti ini, pertentangan antara parti, maka banyak usul-usul tergendala,” ujar beliau ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Malah katanya, desakan beberapa pemimpin parti lain agar Exco PAS meletakkan jawatan juga adalah tidak profesional dalam konteks menyelesaikan masalah serta tanggungjawab terhadap rakyat.
 
“Tak payah nak paksa-paksa mereka meletakkan jawatan sebab PRU pun dah tak lama lagi, jadi biarkanlah mereka duduk di situ, tiada masalah sebenarnya.
 
“Jadi profesional, terima keadaan, kalau pun PAS tiada hubungan antara parti tetapi yang ada itu dikekalkan sehingga tarikh dibubarkan pentadbiran negeri dan selepas itu pilihlah apa yang kamu mahu," katanya lagi. 
 
Sebelum ini, desakan bertubi-tubi agar tiga Exco PAS Selangor iaitu Datuk Iskandar Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi meletakkan jawatan ekoran keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali pada Selasa lalu bertegas mandat kerjasama PKR-PAS di Selangor akan diteruskan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang demi mengekalkan komposisi pentadbiran negeri itu.  
 
Bagaimanapun semalam, The Star melaporkan, Azmin telahpun meminta ketiga-tiga exco itu meletak jawatan, namun ia dinafikan Iskandar dan Ahmad Yunus yang menyifatkannya ia cerita rekaan.
 
Setiausaha Politik kepada Azmin, Mat Shuhaimi Shafiei turut mengesahkan khabar itu tidak benar.
 
Jawatankuasa PAS Pusat dijangka akan bermesyuarat minggu hadapan bagi menentukan  kedudukan tiga Exco PAS di Selangor.
 
 

Tiada ulasan: