HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Mei 2017

Exco Selangor: PAS akan buat keputusan terbaik

DR AZMAN IBRAHIM

 
 
SELEPAS Majlis Syura Ulamak membuat ketetapan bahawa putusnya tahaluf siyasi dengan PKR, maka proses tindakan selanjutnya diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk bermesyuarat dan membuat keputusan mengenai tindakan politik yang perlu dilakukan susulan putusnya tahaluf siyasi dengan PKR, ini termasuklah bagaimana kedudukan tiga Exco PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor.
 
Ini merupakan proses biasa cara PAS membuat keputusan. Majlis Syura Ulamak ada bidang kuasa yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat juga ada bidang kuasanya.
 
Ia bukan satu keputusan peribadi Presiden PAS atau keputusan Mursyidul Am PAS seorang diri. Proses membuat keputusan ini bukannya mudah kerana segala hujah dan fakta telah dan akan diperhalusi semasak-masaknya.
 
Putusnya tahaluf dengan PKR bukan sekadar keputusan ‘ikut terlintas depan mata’. Selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat nanti, kenyataan rasmi parti akan dikeluarkan dan saya yakin semua pihak tidak ada masalah untuk mematuhinya
 
Sepintas lalu tinjauan di peringkat ‘grass root’, ahli di cawangan sudah cukup faham kenapa putusnya tahaluf siyasi antara PAS dengan DAP dan PKR.
 
Mereka tak memerlukan sebarang penjelasan lagi. Cuma yang mereka tunggu nak tahu ialah apa langkah politik seterusnya. Bila dimaklumkan supaya bersabar dan tunggu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bermesyuarat Khamis ini, mereka akur dan diam.
 
Saya sangat yakin bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan membuat keputusan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terutama dalam memastikan kebajikan rakyat Selangor terus terjaga dan terbela.
 
Dalam masa yang sama PAS tidak akan mengorbankan soal prinsip dan dasar. (Buletin Online) 
 
 *Dr Azman ialah seorang pengamal pergigian yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
 
 

Tiada ulasan: