HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

Ezam tidak layak nasihat Majlis Syura Ulama PAS - penganalisis

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Datuk Ezam Mohd Nor tidak layak untuk menasihati Majlis Syura Ulama (MSU) PAS berkenaan keputusan parti itu bekerjasama dengan Umno Barisan Nasional (BN) khusus untuk isu-isu yang menafaatkan rakyat.
 
Penganalisis politik,  Dr. Jeneri Amir berkata Ezam perlu bersedia untuk kredibilitinya dipersoal, sementelah beliau adalah ahli politik yang kerap berpindah-randah daripada satu parti ke parti yang lain.
 
"Sejauh mana Ezam punyai kredibiliti atau wibawa untuk mengajar Majlis Syura PAS yang terdiri dari pelbagai pemimpin yang punyai latar belakang agama dan juga kelayakan yang pelbagai,?" katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata demikian  selepas diminta mengulas surat terbuka Ezam kepada  MSU PAS, untuk menasihati mereka agar berhati-hati dengan agenda Umno BN, mahu melunak dan mengendurkan pegangan parti itu terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
"Sebelum Ezam memberi nasihat kepada pimpinan PAS beliau perlu mencerminkan dirinya terlebih dahulu berdasarkan tindak-tanduknya dan gelagatnya dalam tempoh beberapa tahun yang lalu dan sehingga kini yang keluar masuk dari satu parti ke satu parti. 
 
"Kemudian telah diberi peluang oleh Umno dan kerajaan sendiri, kemudian menikam mereka dari belakang," katanya lagi.
 
Ezam hari ini menyebarkan surat terbuka yang padanya, atas dasar ingin menasihat MSU PAS, bersabit hubungan baik parti dan Umno BN, akhir-akhir ini.
 
Ezam mendakwa sebagai seorang yang pernah bersama dengan Umno BN, beliau tahu ada gerakan untuk melunak dan mengendurkan pandangan PAS terhadap isu 1MDB.
 
Beliau yang juga bekas pimpinan kanan PKR mendakwa Umno BN sedar PAS adalah saingan yang patut diberi perhatian dan bukannya DAP.  
 
Jeniri percaya pimpinan PAS tahu dan sedar apa jua langkah yang diambil partinya ketika ini, disaat bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin terasa.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, PAS akan bekerjasama dengan Umno dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan umat dan Islam. 
 
Ujar Hadi, kerjasama PAS dengan Umno hari ini adalah amalan politik matang, yang akan difahami rakyat. 
 
Beliau bagaimanapun pernah menegaskan, PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno untuk menghadapi PRU14.
 
 

Tiada ulasan: