HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Mei 2017

'Gelang besi' untuk exco kerajaan Kelantan

ARIF ATAN
 
 
Ustaz Hamid DeraniUstaz Hamid Derani

Bekas ahli dan penceramah Pas menganggap tindakan untuk mengheret mana-mana Exco Kerajaan Negeri Kelantan ekoran kes rasuah dan salah guna kuasa bukan mustahil untuk dilakukan.

Ustaz Hamid Derani berkata, hal ini memandangkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menahan Exco kerajaan negeri Johor pada Mac lalu berhubung kes penyelewengan hartanah.

"Kalau Exco Johor pun boleh diberi rantai besi (gari), takkanlah Exco kerajaan negeri Kelantan payah untuk diberi gelang besi," ujarnya.

Beliau berkata, saiz Kompleks SPRM Negeri Kelantan di Lundang, Kota Bharu yang besar dengan sifat baik pemimpin badan itu wajar untuk berbuat demikian.

"Pejabat SPRM di Lundang besar. Pemimpin SPRM yang ada pada hari ini beriman, boleh jadi pak imam, pandai baca al-Quran.

"Sebab apa? Untuk ikat ustaz-ustaz yang pandai baca al-Quran," bidasnya dalam ceramah di Tendong, Pasir Mas Kelantan semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas juga dilihat cenderung memenuhi kehendak syarikat pemaju berbanding rintihan rakyat seperti yang berlaku pada cadangan membina kondominium 24 tingkat di tapak sebuah tadika bersebelahan Masjid Sultan Muhammad II atau dikenali sebagai Masjid Telipot di Kota Bharu.

Masjid TelipotMasjid Telipot

"Sedih. Jemaah, ahli jawatankuasa Masjid Telipot buat rayuan, solat hajat. Adakah Almarhum Tok Guru Nik Aziz ingatkan pemimpin-pemimpin Pas selepasnya, kalau masjid minta tanah, jangan beri, beri pada pemaju sebab dapat untung?

"Kalau masjid tak untung satu sen pun. Ada Tok Guru pesan begitu?" tempelaknya merujuk kepada bantahan lebih 100 penduduk di kejiranan Jalan Raja Dewa, Telipot di kawasan terbabit berhubung cadangan projek komersial di tanah seluas 0.68 hektar itu.

Ustaz Hamid turut menyebut tentang gaya hidup mewah pemimpin Pas yang jauh berbeza dengan penampilan mereka apabila bergaul dengan rakyat selain pada masa sama sebahagian besar Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) milik parti itu masih dalam keadaan daif.

"Tok Lebai yang jual agama ini masuk jumpa rakyat jumpa pengundi orang kampung, cari pakaian lusuh, pergi kampung pakai jubah kedut nak royak (cakap) dia zuhud.

"Tapi (kereta) ada (nombor pendaftaran) PAS 12, PAS 9. Mari jumpa orang kampung, masuk kedai kopi, 'ana puasa' sebab tengok 14 meja.

"Sedih tak sedih cuba periksa sekolah Pasti di Tumpat. Anak saya lima orang ngaji di Pasti. Kadang-kadang anak menangis nak buang air besar tak boleh sebab di sekolah (Pasti) tiada tandas.

"Bangunan bocor, tikar sehelai tak beli. Guru Pasti berapa ratus ringgit dibayar gaji tetapi pemimpin Pas di Tumpat ada rumah dekat harga RM10 juta.

"Saya tahu pemimpin Pas ada kondominimum 14, 15 buah di Kuala Lumpur dan Selangor," dakwanya.

Kohilal 

Beliau juga menyelar kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas yang lebih mudah berurusan dengan pihak pemaju berbanding penduduk kampung.

"Pergi pejabat Tumpat, Pasir Mas, geran tanah dalam masa setahun tapi syarikat korporat nak cepat, derma pada tabung.

"Tabung pula tiada pemegang dan penerima tetap. Masuk sebanyak mana dalam tabung pun kita tidak tahu. Habis licin," tegasnya.

Beliau memberi contoh nasib yang dialami pelaburan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) yang jatuh muflis sekaligus puluhan juta ringgit wang ahli Pas lesap.

"Ingat atau tidak, Pas buat saham Kohilal? Berjuta-juta pungut duit daripada ahli Pas. Setelah saham Kohilal tutup ranap, seringgit pun modal tak pulang.

"Jutaan duit ahli Pas masuk saham Kohilal, duit pelabur tidak dibayar, jangankan kata untung, pokok pun tidak dibayar," bidasnya.

Pada masa sama, kerajaan negeri Kelantan gagal menyediakan infrastruktur, jelasnya, sehingga memaksa rakyat Kelantan mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai kos membaik pulih jalan raya.

"Rakyat, pengundi merayu mohon kambus lubang jalan. Apa pemimpin Pas jawab? Nak berjuang kebendaan duduk dalam Umno. Kita (Pas) berjuang nak akhirat.

"Orang kampung berjumpa pula penyelia Umno tetapi Umno kata mereka tidak menang. Akhir sekali, orang kampung tiada pilihan lain, pakat sedekahkan RM10, RM50.

"Beli pasir, simen, batu. Pakat hari Jumaat, Sabtu buat jalan. Setelah siap jalan, wakil rakyat Pas datang. 'Rebut saham akhirat,' katanya. Kena pada dia sokmo," bidas Ustaz Hamid.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan yang bakal mengambil alih Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti akan menyiasat isu penyelewengan hartanah di negeri pantai timur itu.

"Kita minta parti baru ambil alih bumi Kelantan biar siasat A sampai Z. Tanah kerajaan negeri yang dijual kepada syarikat. Berapa jumlah sebenar kerajaan negeri terima?

"Berapa juga Tesco bayar sebab kita tahu kerajaan negeri tidak terima wang sebanyak itu," tambah Ustaz Hamid lagi di Pejabat Peduli Rakyat Dun Tendong.

Tiada ulasan: