HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mei 2017

Graduan universiti semakin ramai, peluang pekerjaan terhad


Roketkini.com

GEORGE TOWN: Laporan kajian tenaga buruh 2016 Malaysia menunjukkan 27.5 peratus golongan pekerja di negara ini mempunyai pendidikan tinggi.

Daripada jumlah itu, peratusan pekerja rakyat Malaysia yang berpendidikan berkurang kepada 26.7 peratus setelah ditolak 0.8 peratus pekerja asing berpendidikan di negara ini.

Ia bermakna, hampir tiga suku pekerja di Malaysia tidak memiliki pendidikan formal atau hanya menamatkan persekolahan di tingkatan lima manakala hanya 12.4 peratus pekerja memiliki ijazah sarjana musa, sarjana dan PhD.

Sebaliknya, satu pertiga penganggur di Malaysia atau 33.6 peratus pula memiliki pendidikan tinggi.
Menurut Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, angka-angka ini menunjukkan peluang pekerjaan graduan universiti negara ini terhad.

“Ramai graduan universiti kita juga masih menganggur dan sebahagiannya pula bekerja di tempat yang tidak memerlukan sebarang kelayakan universiti.

“Kesimpulannya, semakin tinggi pendidikan seseorang itu di Malaysia, semakin kurang peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan yang sedang berlaku ini ujarnya amat ganjil memandangkan kerajaan meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Adakah kita akan mencapai status negara berpendapatan tinggi tanpa pekerjaan untuk graduan?” soalnya.

Berdasarkan laporan kajian pendapatan 2016 pula ujarnya, purata gaji mereka yang berpendidikan tinggi negara ini ialah RM3,274 iaitu lebih dua kali ganda dengan pendapatan golongan berpendidikan menengah iaitu RM1,600.

“Malah antara tahun 2015 dan 2016, pekerjaan untuk mereka yang berpendidikan menengah meningkat secara signifikan atau 2.4 peratus berbanding pekerjaan bagi mereka yang berpendidikan tinggi,” jelas Steven.

Fakta itu ujarnya turut disokong data dalam Laporan Tahunan Bank Negara 2016 yang menyatakan meskipun wujud peningkatan tenaga kerja yang berpendidikan, peluang pekerjaan dalam sistem ekonomi Malaysia kekal tertumpu dalam kategori kemahiran rendah dan sederhana. -Roketkini.com


Tiada ulasan: