HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

Hakim arah mediasi kes saman Nurul pada IGP, Ismail Sabri

Zulaikha Zulkifli


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini meminta agar kes saman fitnah Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui proses mediasi terlebih dahulu sebelum dibicarakan.

"Biasanya amalan di mahkamah tinggi, semua kes sebelum sampai ke bicara penuh perlu dihantar kepada mediasi untuk satu percubaan untuk selesaikan kes.

"Memandangkan ia (mediasi) belum berlaku lagi dalam kes ini, Yang Arif menerima pandangan bahawa ia perlu dirujuk kepada mediasi.

"Mediasi bermaksud kedua-dua pihak diminta sama ada kes ini boleh diselesaikan secara baik atau tidak," kata peguam Nurul, S Sivarasa kepada pemberita di mahkamah hari ini.

Hakim bagi kes saman berkenaan ialah Faizah Jamaludin.

Sehubungan itu, Sivarasa berkata, sekiranya proses mediasi tidak berjaya, kes tersebut akan dibicarakan pada Ogos depan.

Pada November 2015, Nurul memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana menuduhnya sebagai penderhaka kepada negara.

Ia berhubung sekeping gambar memaparkan beliau bersama Jacel Kiram iaitu anak perempuan Jamalulail Kiram yang dikatakan mengetuai pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Peguam wakili Ismail

Selain itu, Sivarasa turut memberitahu, kes berkenaan juga tidak dapat diteruskan hari ini kerana pihaknya mempertikaikan sama ada Ismail boleh diwakili Jabatan Peguam Negara atau sebaliknya.

Menurut Sivarasa, Ismail patut diwakili peguam swasta memandangkan kenyataan yang didakwa sebagai fitnah itu dilakukan di majlis anjuran Umno.

"Dia (Ismail) buat kenyataan yang kita anggap fitnah dalam satu majlis anjuran Umno, bukan majlis rasmi dan bukan apa-apa yang berkaitan dengan tugas rasminya sebagai menteri.

"Alasan kita adalah isu yang disentuh dalam percakapan dia yang kita anggap fitnah tidak ada kena mengena dengan tugasnya sebagai menteri.

"Dalam konteks itu, ada persoalan yang wajar kenapa Peguam Negara mewakilinya dalam kes ini. Bagi pandangan saya, ia sepatutnya diwakili oleh peguam swasta," kata Sivarasa lagi.

Nurul mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Khalid dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 22 November 2015 menyatakan plaintif adalah dalang di sebalik serangan dan pencerobohan oleh Tentera Sulu di Sabah pada 2013, merupakan fitnah dan berniat jahat.

Naib presiden PKR itu juga mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Ismail melalui sidang media selepas satu majlis di Bera, Pahang yang menyatakan beliau seorang penderhaka kepada negara dan terlibat dalam keganasan adalah fitnah.

Sehubungan itu plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, faedah, kos, dan perintah injunksi bagin menghalang defendan mengulangi dan menerbitkan perkataan fitnah tersebut.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: