HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mei 2017

Hanya pendidikan mampu basmi kemiskinan di Sabah, kata Shafie

 
Parti Warisan Sabah akan mengutamakan pendidikan jika ia berjaya mengambil alih kerajaan negeri daripada BN


shafie


PETALING JAYA: Kaedah kerajaan memberikan bantuan wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak akan dapat membasmi kemiskinan, terutamanya di Sabah, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.

Oleh itu Warisan akan mengutamakan pendidikan jika ia berjaya mengambil alih kerajaan Sabah daripada BN.

“Mustahil boleh basmi kemiskinan dengan pemberian. Walaupun kamu derma setiap hari, orang yang menderma itu boleh jatuh muflis.

“Kita perlu sediakan pendidikan untuk orang kita; begitu caranya kamu basmi kemiskinan,” kata Shafie pada satu ceramah di Pensiangan, Sabah, semalam.

Beliau berkata apabila pembangkang membentuk kerajaan persekutuan, dia akan buktikan dengan pendidikan, pemberian wang tunai boleh dihentikan.

“Katakan setiap isi rumah ada 5 orang. Kalau 2 anak diberi pendidikan yang cukup, percayalah, tak perlu lagi BR1M.”

Bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu juga berkata rakyat Sabah tidak perlu risau mengenai ketidakstabilan jika pembangkang menang pilihan raya nanti.

Walaupun sesetengah pihak mendakwa negara akan dalam keadaan yang buruk jika pembangkang mengambil alih kerajaan, Shafie mendakwa Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir pembangkang dalam keadaan yang lebih baik berbanding negeri di bawah BN.

“BN kata GST bagus untuk negara, dan negara tak boleh hidup tanpanya.

“Tetapi ia menyusahkan rakyat. Yang miskin, yang kaya, tua dan muda, semua kena cukai di bawah GST.

“Jadi kita perlu lakukan perubahan. Kalau pembangkang ambil alih kerajaan, kita akan tuntut GST dimansuhkan.

“Sabah kaya tetapi rakyat Sabah miskin. Itu masalahnya.

“Kita pilih pemimpin untuk bantu rakyat, bukan untuk memperkayakan diri sendiri dan menyusahkan kita,” kata ahli Parlimen Semporna itu.

Shafie menjanjikan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Sabah, seperti rancangan membina kilang minyak masak jika partinya diberi mandat mentadbir kerajaan negeri.

Beliau berkata ia tidak memerlukan wang yang banyak, dan mendakwa beliau pernah melawat sebuah kilang minyak masak di Shah Alam, Selangor yang mempunyai 40 kakitangan.

“Kos hanya RM5 juta. Saya tanya dari mana mereka dapat minyak sawit dan mereka kata dari Sabah.

“Jadi orang kita mengembara jauh untuk mencari pekerjaan sedangkan sumber ada di sini. Kita perlu strukturkan semula keseluruhan sistem ini.”

Tiada ulasan: