HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Mei 2017

Hasil kajian INVOKE 'syok sendiri', kata Tun M

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis berkata hasil kajian Invoke Malaysia berkaitan calon perdana menteri paling popular untuk PRU14 sebagai 'syok sendiri'.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengulas kajian badan bukan kerajaan (NGO) di bawah penyelarasan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, sebagaimana diumumkan semalam.
 
"Bila menang boleh buatlah. Kalau tak menang, bubuh nama, itu syok sendiri," katanya selepas menghadiri program ceramah di Kampung Baru malam tadi.
 
Dr Mahathir juga menambah senarai nama itu tidak bermakna sekiranya pembangkang gagal membuktikan kemenangan mereka di dalam pilihan raya akan datang.
 
"Kalau tak menang, sesiapa pun tak boleh jadi PM. Yang utama, menang. Kalau nak jadi calon, siapa pun boleh jadi," demikian reaksi Mahathir.
 
Rafizi, pada semalam mengumumkan kajian NGO yang diketuainya mendapati bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).
 
Kajian yang dilakukan terhadap 17,962 orang responden mendapati 31 peratus memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1 peratus memilih Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Manakala, 34.4 peratus daripada responden berkenaan tidak menjawab.
 
Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama di kalangan penyokong pembangkang untuk menjadi perdana menteri.
 
Kaji selidik menerusi telefon itu meletakkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat kedua manakala Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sekadar di tangga ketiga.
 
Hampir 6,200 atau 34.6 peratus daripada 18,000 responden yang menjawab soalan berhubung pilihan mereka sebagai perdana menteri memilih pemimpin pembangkang.
 
Daripada jumlah itu, 23.5 peratus memilih Anwar, 17.6 peratus memilih Hadi, manakala 16.5 peratus memilih Mahathir.
 
 

Tiada ulasan: