HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mei 2017

Hendak ‘kahwin’ dengan UMNO, sumpah baiah dulu- Zam

Mohd Haizal Yatiran

Zainudin Maidin
KUALA LUMPUR – Bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin membayangkan kerjasama politik antara Pas dengan bekas partinya itu bakal membawa kerugian besar kepada UMNO.

Menurut beliau, imej stereotaip Pas sejak dulu sebagai parti ekstremis agama bertentangan dengan imej pelbagai kaum yang diamalkan UMNO selama ini yang menyatukan pelbagai kaum termasuk Cina (melalui MCA) dan India (melalui MIC).

Justeru sekiranya kerjasama politik tersebut akan dimeterai, kepercayaan dan sokongan kaum bukan Melayu terhadap UMNO bakal terkikis, tambah bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia itu.

“Kalau Pas tahaluf dengan UMNO, ia akan memberikan kecederaan kepada UMNO sendiri. Ini kerana, UMNO dari dulu lagi dikenali sebagai parti yang menggunakan pendekatan kepelbagaian kaum dan kesederhanaan dalam semua aspek termasuk keagamaan.

“Bila Pas mahu bekerjasama dengan UMNO, ini akan menimbulkan prasangka terhadap bukan Melayu. Umpamanya seperti akta Pas, RUU355.

“Bagi orang Cina, mereka takkan percaya. Lagi pun, orang Melayu selama ini bukanlah buruk sangat sehingga perlu gubal undang-undang (RUU 355).

“Imej kita daripada dulu adalah kepelbagaian kaum, imej ekstrem Pas akan merosakkan identiti kepelbagaian kaum yang diamalkan UMNO yang sudah diterima oleh kaum bukan Melayu dan kerana itulah UMNO boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC dari dulu.

“Sebagai parti cauvinis Islam Melayu, tak mungkin boleh berjaya kerjasama ini. Ia (tahaluf siyasi) takkan kekal dan ini pastinya ‘perkahwinan’ yang sementara, kecuali mereka buat sumpah baiah.”

Zainuddin yang juga mesra dengan panggilan Zam turut mendakwa, selain menjadi faktor perpecahan dalam kalangan bangsa Melayu sendiri, Pas juga turut memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan ahlinya sendiri.

“Lebih parah, sumpah baiah di kalangan ahli yang menunjukkan Pas sebagai ekstremis agama juga boleh dipersoalkan kerana manjadikan sebahagian daripada ahli dan bekas ahlinya ‘dalam keadaan berzina’,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Terdahulu, setelah kerjasama politik antara Pas dan PKR terputus secara rasmi, Pas memperlihatkan bahawa parti itu bersikap terbuka untuk mengadakan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti yang sesuai pada masa akan datang, katanya.

Menurut Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, parti itu tidak menolak kemungkinan mengadakan tahaluf siyasi dengan UMNO pada masa depan.

Katanya, langkah UMNO serta pemimpin utama parti itu, Datuk Seri Najib Razak yang meletakkan konsep Islam dalam pentadbiran menjadi faktor kepada kemungkinan itu -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: