HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Mei 2017

Ikhlas hantar memorandum kepada PM rayu selamatkan Ampang Park

 Bernama

Memorandum itu mengandungi lima cadangan sebagai alternatif untuk meneruskan projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan dua dari Sungai Buloh ke Putrajaya, tanpa melibatkan perobohan kompleks itu

PUTRAJAYA: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Najib Razak agar menyelamatkan pusat beli-belah Ampang Park, Kuala Lumpur, daripada dirobohkan.

Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah berkata memorandum itu mengandungi lima cadangan sebagai alternatif untuk meneruskan projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan dua dari Sungai Buloh ke Putrajaya, tanpa melibatkan perobohan kompleks itu.

Katanya cadangan itu dikemukakan sendiri oleh 139 daripada 253 pemilik strata Ampang Park yang tidak bersetuju dengan pengambilan tanah tersebut.

“Adalah tidak wajar Ampang Park dirobohkan hanya untuk membina laluan pejalan kaki. Jadi antara cadangan kami ialah laluan itu dialihkan sedikit dan sementara kerja-kerja pembinaan berjalan, peniaga diberi pampasan.

“Kami menyokong pembinaan MRT, jadi kami meminta campur tangan Perdana Menteri supaya kompleks yang sudah berpuluh tahun beroperasi itu tidak dirobohkan,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada Penolong Setiausaha Pejabat Perdana Menteri Megat Shah Hamerul Megat Mohd Yusof di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Kira-kira 20 wakil pemilik strata Ampang Park turut serta menyerahkan memorandum tersebut.

Mohd Ridzuan berkata memorandum tersebut turut mengandungi tandatangan 139 pemilik strata Ampang Park dan hampir 40,000 pengundi yang membantah perobohan kompleks itu.

Katanya setakat ini, tarikh perobohan kompleks itu masih belum diumumkan susulan kejayaan sebahagian pemilik strata mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar kelulusan Kementerian Wilayah Persekutuan dan tiga lain, berhubung pengambilan tanah tersebut.

Ampang Park dibina pada 1972 dan dibuka kepada orang ramai pada 15 Mac 1973, menjadikannya kompleks beli-belah pertama di Malaysia.

Tiada ulasan: