HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Mei 2017

Ini sebabnya kenapa PAS perlu letak semua jawatan dalam kerajaan Selangor


Roketkini.com

PETALING JAYA: Tindakan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR dilihat sebagai penolakan parti itu terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Ia juga, kata Adun Kampung Tungku, Lau Weng San menunjukkan PAS tidak lagi mendukung mandat dan aspirasi rakyat Selangor yang mahukan PKR, PAS dan DAP membentuk kerajaan berdasarkan manifesto Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13.

“Maka mengikut logik, rasional dan lunas politik, bukan sahaja Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) PAS Selangor perlu meletakkan jawatan masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

“Malahan Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Kampung serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada PAS Selangor juga harus melepaskan jawatan masing-masing kerana jawatan-jawatan ini dilantik oleh Menteri Besar.”

Terdapat desakan daripada pelbagai pihak agar Exco PAS Selangor meletakkan jawatan selepas Majlis Syura Ulamak parti itu mengambil keputusan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR yang kini menerajui kerajaan negeri Selangor.

Namun, PAS dilihat tidak tunduk dengan desakan itu apabila berdegil ingin tetap berada dalam kerajaan negeri dengan alasan kononnya untuk memastikan DAP tidak melakukan “kerja jahat”.
Tuduhan tidak berasas terhadap DAP itu bagaimanapun tidak dijelaskan pihak PAS meskipun mendapat desakan untuk berbuat demikian.

PAS juga menggunakan institusi DiRaja sebagai alat untuk melindungi kepentingan politiknya, tindakan yang dilihat sebagai kurang profesional dan tidak jujur.

“PAS harus maklum bahawa Exco di setiap negeri dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-Raja Melayu atau Tuan Yang Terutama (TYT) negeri masing-masing atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri.

“PAS juga harus diingatkan tentang insiden pemecatan enam orang Exco kerajaan Selangor pada tahun 2014 atas nasihat Menteri Besar pada masa itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau dipecat daripada PKR dan tidak sehaluan lagi dengan PKR,” jelas Weng San yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor.

5,000 ahli PAS ketika ini memegang pelbagai jawatan yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.
Tiga Exco PAS yang masih berkhidmat di bawah pentadbiran pimpinan Azmin Ali adalah Datuk Iskandar Abdul Samad memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.

Selain itu, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bagi portfolio Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi, manakala Zaidy Abdul Talib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani. – Roketkini.com


Tiada ulasan: