HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

Insiden Lata Carok: Tiada ribut atau hujan ketika pokok tumbang, kata mangsa

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
BENTONG: Kejadian pokok tumbang di kawasan Air Terjun Lata Carok yang mengorbankan 2 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam berlaku dengan pantas sehingga semua mangsa tidak sempat menyelamatkan diri berikutan terkejut selain keadaan persekitaran yang gelap.
 
Seorang mangsa, Mohd Ammar Affandi Ahmad Subki, 20, yang patah kaki kirinya akibat kejadian itu berkata, ketika kejadian, dia sedang memasak makanan, manakala beberapa lagi mangsa sedang tidur.
 
“Semasa kejadian, tiada angin kuat mahupun hujan, semua dalam keadaan baik sahaja. Namun, tiba-tiba sahaja terdengar bunyi kuat seperti kayu patah sebelum sebatang pokok balak yang besar menghempap kami,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Bentong hari ini.
 
Beliau yang berkerusi roda akibat kecederaan itu kelihatan sugul dan masih trauma dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi 2 rakannya Noorain Mohtar, 23, dari Sungai Besar, Selangor dan Muhamad Kamil Md Sukri, 22, dari Sabak Bernam maut.
 
Ammar yang berasal dari Kulim, Kedah berkata, semasa kejadian, 2 mangsa yang maut sedang tidur di dalam khemah masing-masing dan salah seorang mangsa berada di belakangnya.
 
“Keadaan semasa itu menjadi kelam-kabut. Dalam keadaan gelap, saya berusaha menarik kaki yang tersepit di bawah pokok itu dan bangun untuk menyelamatkan rakan lain.
 
“Pada masa itu, saya tidak berasa sakit dan terus menarik rakan-rakan saya yang ditindih kayu, namun usaha mengangkat kayu (batang pokok) tidak dapat dilakukan kerana begitu besar dan berat,” katanya.
 
Usaha pemberita menemu bual beberapa lagi peserta dan mangsa yang berada di unit berkenaan bagaimanapun dihalang seorang wanita yang dipercayai pensyarah universiti berkenaan dengan meminta mereka memasuki sebuah bilik menunggu di kawasan itu.
 
Sementara itu, salah seorang jurulatih yang bertanggungjawab mengendalikan program tersebut berkata, tempat berkenaan memang sering dijadikan kawasan perkhemahan dan aktiviti lasak, namun kejadian sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.
 
“Kejadian berlaku terlalu hampir dengan kawasan chalet penginapan semua pelajar UiTM berkenaan, kerana itu kita tidak memaklumkannya kepada pihak berkuasa.
 
“Sebelum ini juga kita pernah mengendalikan aktiviti yang sama di kawasan itu melibatkan kumpulan lain,” katanya yang enggan dikenali.
 
 

Tiada ulasan: