HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mei 2017

Iskandar dakwa ADUN PAS Selangor tak mudah dijual beli

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Wakil rakyat PAS mempunyai integriti dan tidak mudah dijual beli, tegas exco kanan kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Beliau menjawab spekulasi pentadbiran Selangor yang dihimpit dakwaan beberapa wakil rakyat bakal lompat parti bagi menubuhkan sebuah kerajaan campuran, termasuk untuk bersama dengan Umno.
 
"Tidak ada jumlah wang yang akan dapat membeli mana-mana exco atau ADUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baru bersama Umno.
 
"Ketika kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi, kerajaan negeri tidak tumbang kerana tidak ada satu pun ADUN PAS yang dapat dibeli.
 
"Oleh yang demikian telah terbukti bahawa wakil-wakil rakyat PAS mempunyai integriti yang tinggi dan tidak akan menggadaikan prinsip mereka," kata Iskandar memetik kenyataannya hari ini.
 
Baru-baru ini tersebar khabar angin pentadbiran Selangor terjejas akibat empat wakil rakyat PKR didakwa bakal keluar parti untuk bersama dengan dua ADUN bebas bagi membentuk kerajaan campuran.
 
Beberapa wakil rakyat PKR bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut, selain mendakwa ia sengaja diada-adakan oleh Umno-Barisan Nasional (BN).
 
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar pula menafikan perkara itu dan mendakwa isu itu dicetuskan sendiri oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu hubungan PAS-PKR, selepas Muktamar PAS memutuskan tanpa bahas untuk menamatkan tahaluf siyasi antara mereka.
 
 

Tiada ulasan: