HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

Isu lompat parti ciptaan PKR, kata Noh

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR sengaja mencipta idea dalam mengalihkan perhatian rakyat berhubung dakwaan empat wakil rakyatnya bakal 'lompat' parti.
 
Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, perkara itu sengaja direka bagi menutup segala kekacauan yang sedang melanda di dalam PKR.
 
“Saya dapat maklum perkara ini timbul semasa dalam mesyuarat PKR apabila dibincangkan bagaimana nak ambil tindakan kepada Adam Rosly ni, sekarang pun mereka berpecah, kita tak nafikan, dia ada dua 'team' Rafizi dengan Azizah satu 'team', Azmin satu 'team'.
 
"Jadi kerana itu mereka sesama mereka bertelagah dan kerana itu mereka cipta cerita yang baru supaya masing-masing tidak lagi bercerita pasal agenda kumpulan masing-masing tapi bagaimana nak menguatkan PKR dengan melontarkan idea kononnya mendakwa empat orang nak lompat parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Belia Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Medan, Petaling Jaya semalam. 
 
Malah, beliau turut menyangkal kenyataan salah seorang pemimpin PKR yang menuduh Umno sebagai 'dalang' di sebalik isu tersebut.  
 
“Masa bila Umno yang bercakap, kalau tidak datang dari parti mereka sendiri yang mengatakan empat orang nak lompat parti.
 
“Mereka yang buat cerita, mereka yang menguar-uarkan cerita ni, akhirnya bila rakyat bercakap dia akan salahkan Umno," kata beliau lagi.
 
Sebelum ini, timbul desas-desus berkaitan peralihan kuasa pemerintahan di Selangor susulan keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Khabar angin itu menyebut kononnya empat ADUN Selangor daripada PKR akan keluar parti bersama dua lagi ADUN Bebas untuk membentuk kerajaan campuran yang baru, yang terdiri daripada PAS dan Umno.
 
Empat ADUN yang disebut ialah ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail,ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari.
 
Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin  Ali bagaimanapun lantas menolak khabar angin tersebut dan menyatakan bahawa ada pihak yang cemburu dengan kejayaan Pakatan Harapan di negeri Selangor dan menganggap ia sebagai provokasi jahat daripada pihak-pihak tertentu.  


Tiada ulasan: