HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Mei 2017

‘Jangan ambil jalan mudah, cepat buat kesimpulan’



ULASAN l Kongres Nasional PKR kali ke-12 yang berakhir dua hari lalu banyak menampilkan kelainan berbanding perhimpunan agung tahunan parti-parti lain.

Kongres nasional PKR hanya sehari, ucapannya pendek dan masanya singkat. Masa yang singkat bermakna tidak banyak ruang untuk memuji-muji pimpinan di atas.

Tempoh bersidang sehari bermakna belanja menganjurkan kongres hanya sekitar RM150,000 yang tidak membebankan parti sehingga perlu mencari derma dari hartawan Arab.

Ramai yang mungkin tidak sedar itu budaya politik yang berlainan di bawah oleh PKR. Budaya yang lebih menumpukan kepada pencapaian kerja dan membuang amalan-amalan politik feudal yang penuh dengan keraian dan protokol.

18 tahun lalu, sebagai anak muda berumur 21 tahun yang sedang bekerja di London, saya menyertai PKR dari jauh.

Saya terus dilantik menjadi exco Pemuda PKR (ketika itu) dari London sedangkan saya tidak pernah berjumpa dengan pimpinan PKR yang ada. Saya menyertai PKR dari London kerana saya percaya parti ini menongkah arus dan akan berjaya membawa budaya baru.

Mendahului pendapat umum 

Kongres Nasional PKR setiap tahun adalah pertemuan yang merayakan kepelbagaian Malaysia.
Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Iban, Bidayuh,Kadazan,Murut; malah ada Orang Asal. Tidak ada satu parti pun di Malaysia yang mempunyai dan mewakili semua bangsa dan agama seperti PKR.

Namun, 18 tahun lalu semasa parti ini ditubuhkan, pendapat umum (atau "conventional wisdom") pada ketika itu mengatakan bahawa parti berbilang bangsa yang melangkaui batas perkauman (dan tidak hanya memperjuangkan nasib satu kaum) tidak akan kekal lama.

pkr congress 200517 wanita delegatesHari ini, PKR adalah satu-satunya parti; dan parti yang pertama dalam sejarah Malaysia yang diterima semua bangsa dan ada wakil rakyat di setiap negeri dari Perlis ke Sabah dan Sarawak.

Selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2004, PKR tinggal hanya satu kerusi Parlimen. Kami diejek sebagai parti nyamuk yang akan terkubur.

Maka apabila tiga tahun kemudian, Anwar Ibrahim mengatakan pembangkang ada peluang merampas beberapa buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam PRU 2008, semua memperlekehkan keyakinan Anwar dan PKR itu.

Dalam PRU 2008, PKR membuktikan pendapat umum (“conventional wisdom”) ketika itu salah apabila pembangkang menidakkan majoriti dua pertiga dan sejak itu pakatan pembangkang berjaya mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Pakatan Rakyat selepas PRU 2008, ramai pula yang tidak yakin pakatan pembangkang itu boleh kekal lama. Kata mereka ini gabungan "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain".

Namun, Pakatan Rakyat (yang pada mulanya tidak diyakini oleh juru komen politik) ini jugalah yang mencipta sejarah sebagai pakatan pembangkang pertama dalam negara ini yang memenangi undi popular menewaskan BN dalam pilihanraya umum.

Apabila Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menubuhkan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, pendapat umum ketika itu mengatakan pakatan pembangkang tanpa PAS tidak mempunyai harapan.

Malah ada yang mengkritik, termasuk dari kalangan pimpinan NGO dan media yang cenderong kepada pembangkang, kononnya tindakan Presiden PKR itu gopoh dan cuai.

Hari ini, seluruh Malaysia meyakini bahawa pakatan pembangkang yang berpotensi untuk mengalahkan BN adalah Pakatan Harapan, bukannya Gagasan Sejahtera.

Sebab itu persoalan siapa calon Perdana Menteri hanya diajukan kepada Pakatan Harapan kerana keyakinan menang itu hanya ada kepada Pakatan Harapan (dan bukannya Gagasan Sejahtera).

Saya sebut semua ini untuk menunjukkan bahawa selama 18 tahun, kesemua keputusan besar yang diambil PKR mendahului pendapat umum atau "conventional wisdom" tetapi lama kelamaan kami dibuktikan benar.

Anjakan besar yang dibawa oleh PKR sememangnya bermula dengan diperlekehkan oleh cerdik pandai masyarakat, NGO dan media ketika itu sebelum anjakan itu benar-benar berlaku (dari wujudnya parti berbilang bangsa nasional yang pertama, wujudnya pakatan pembangkang nasional yang pertama yang kekal melebihi tiga PRU, menidakkan majoriti dua pertiga hinggalah berpotensi besar menewaskan Barisan Nasional dalam PRU akan datang).

Sebabnya ialah kerana PKR adalah parti reformasi, memang idea dan pandangan kami banyak mendahului pendapat umum ketika itu (yang dibentuk oleh budaya politik masyarakat yang telah lama berakar) kerana kami membawa idea yang menongkah pemikiran ketika itu.

Persoalan calon PM reformasi

Begitu juga dengan persoalan siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang: jawapan kami adalah jelas, Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan menang adalah Anwar Ibrahim.

Sudah tentu pendapat umum sekarang (dari pemerhati politik, media, pimpinan NGO, juru komen di portal berita) akan berkata "PKR syok sendiri" dan "PKR gila" kerana Anwar Ibrahim masih dipenjara.

Sedar tidak sedar, idea-idea yang menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan banyaknya bermula dari kelantangan Anwar menentang sistem kerajaan satu parti di bawah Barisan Nasional sejak 1998 lagi.

Tuntutan supaya kerajaan menghormati rakyat, kehendak supaya kerajaan lebih bertanggungjawab menguruskan wang negara, kebencian kepada rasuah yang mengkayakan elit penguasa di dalam masyarakat – ini semua adalah idea-idea reformasi yang dicetuskan dan dibawa secara besar-besaran oleh Anwar Ibrahim dan PKR.

Maka sokongan kepada idea-idea ini bermakna sokongan besar kepada Anwar Ibrahim atas kecekalan beliau membawa idea-idea reformasi ini yang menjadikan rakyat sebagai “tuan” dan kerajaan hamba kepada rakyat.

Saya berani menulis sebegini kerana kenyataan di perenggan atas (bahawa sokongan kepada tuntutan berubahnya kerajaan berkadar langsung dengan sokongan peribadi kepada Anwar Ibrahim oleh sebahagian besar rakyat Malaysia) telah dibuktikan benar secara fakta melalui satu kajiselidik besar yang dijalankan INVOKE Malaysia selama tiga bulan sejak Februari 2017.

Kajiselidik yang melibatkan 18,000 pengundi itu menunjukkan, dari kalangan pimpinan pembangkang, tokoh yang mendapat sokongan terbesar untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang ialah Anwar Ibrahim.

Lebih penting lagi, Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mendapat sokongan dari semua kaum di negara ini, menjadikan beliau satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mempunyai keabsahan moral (“moral legitimacy”) sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Kajiselidik itu akan disiarkan sepenuhnya hari ini.

Saya sebut terlebih dahulu untuk mengingatkan pembaca bahawa soal Anwar Ibrahim menjadi calon pilihan tertinggi rakyat Malaysia (dari kalangan pembangkang) bukanlah soal pandangan atau citarasa saya (seperti mana ada rakan-rakan pembangkang yang lain mempunyai citarasa dan kecenderongan masing-masing), tetapi adalah kehendak majoriti rakyat yang menyokong Pakatan Harapan yang mahukan perubahan seperti yang diperjuangkan Anwar Ibrahim sejak dua dekad yang lalu.

Sebab itu, sedang saya faham setiap parti dan pemimpin Pakatan Harapan ada calon masing-masing, saya berpendapat menidakkan kehendak majoriti rakyat itu atas perkiraan politik kerana Anwar Ibrahim berada di dalam penjara, sudah tentu akan meminggirkan majoriti penyokong Pakatan Harapan sendiri.

Kaedah pengampunan Diraja 

Tetapi rakyat tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil.

Kaedah ini ada digunakan dalam kes-kes ehsan untuk membebaskan pesalah, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia satu kes fitnah yang jelas oleh musuh politik beliau yang mahu menghentikan kemaraan rakyat menuntut perubahan.

Sebab itu walaupun pendapat umum (di kalangan kelas pertengahan, juru komen politik, NGO dan media) mungkin masih tidak dapat menerima, PKR tahu bahawa apabila Pakatan Harapan menang PRU14, seorang pemimpin kanan boleh memangku jawatan Perdana Menteri (sebagai Perdana Menteri interim) dan dengan segera mengusahakan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim.

PKR juga tahu sahabat-sahabat di dalam DAP dan AMANAH pernah bersetuju agar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri interim (mewakili Anwar Ibrahim) yang dengan segera akan mengusahakan pembebasan Anwar Ibrahim melalui kaedah pengampunan diraja.

Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dengan cara ini dan sebulan kemudian terus bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil sebelum mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

Memang ia bukan perkara yang mudah.

Saya baca ada yang berpendapat rancangan itu terlalu bergantung kepada “jika” – jika menang, jika dibebaskan, jika boleh bertanding, jika menang dalam PRK dan lain-lain.

Kesemua “jika” itu adalah keputusan politik yang berada di dalam bidang kuasa sebuah kerajaan persekutuan dan boleh dilaksanakan secara sah mengikut undang-undang dan dalam tempoh yang singkat setelah Pakatan Harapan memenangi Putrajaya.

Sebelum ini pun, ada beberapa keputusan penting yang dibuat PKR selepas PRU13 yang ditolak pada awalnya juga kerana dilihat banyak bergantung kepada “jika”. Contoh terbaik ialah penubuhan Pakatan Harapan dan peluang menewaskan Barisan Nasional dalam pertandingan tiga penjuru.

Ramai juru komen, pemimpin NGO dan media yang ragu-ragu dengan Pakatan Harapan semasa ditubuhkan dua tahun lalu kerana tiada penyertaan PAS.

Saya perhatikan juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang kini berhempas pulas cuba menekan pimpinan Pakatan Harapan untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri, sedangkan dua tahun lalu mereka tidak yakin pun dengan Pakatan Harapan.

Mereka tidak sedar apabila mereka beriya-iya mahu mengadakan perjumpaan dengan pimpinan PKR untuk mendesak dinamakan seorang calon Perdana Menteri dari kalangan pemimpin yang ada di luar (bukannya Anwar Ibrahim yang dipenjara), mereka mengakui kesilapan mereka yang menolak penubuhan Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Begitu juga dengan persoalan peluang memenangi PRU14 apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.
Juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang lantang mengkritik konon kurangnya kesefahaman di dalam Pakatan Rakyat kerana ideologi parti-parti yang berbeza-beza, mereka juga yang tidak bersetuju dengan strategi Pakatan Harapan untuk terus mara tanpa bergantung kepada keputusan politik PAS.

Mereka yakin tanpa PAS, Pakatan Harapan tidak boleh menang.
Sedangkan mereka tidak sedar bahawa lanskap politik tanahair telah berubah sepenuhnya.

Ia telah dibuktikan secara empirikal bahawa hanya PKR yang mendapat keuntungan jika berlaku pertandingan satu lawan satu kerana hanya PKR (dari kalangan parti-parti pembangkang) yang mendapat undi yang baik dari semua kaum, sedangkan parti-parti lain lebih popular dengan satu kaum sahaja.
Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, kajiselidik demi kajiselidik menunjukkan pola pengundian berikut:

1. Pengundi bukan Melayu (Cina dan India) tidak akan memberikan undi kepada PAS. Paling banyak PAS hanya akan mendapat sekitar 5 peratus undi dari pengundi bukan Melayu. Di semua kerusi yang mana pengundi bukan Melayu melebihi 20 peratus PAS akan kalah bila berlawan satu lawan satu dengan Umno kerana pengundi bukan Melayu sama ada menyokong Umno atau tidak keluar mengundi. Dari 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, lebih 75 peratus adalah kerusi Parlimen yang pengundi bukan Melayu lebih dari 20 peratus.

2. Pengundi Melayu dari Umno dan PAS tidak semestinya akan mengundi BERSATU atau AMANAH (jika pun berlaku satu lawan satu) kerana mereka menganggap kedua-dua parti itu adalah parti serpihan. Ada kemungkinan mereka membuat undi rosak, tidak keluar mengundi atau mengundi Umno!

Ditambah pula dengan undi dari bukan Melayu kepada BERSATU dan AMANAH yang tidak setara dengan undi yang diperolehi DAP dan PKR, maka bagi BERSATU dan AMANAH telah dibuktikan (menggunakan data-data yang telah pun diterbitkan) tidak banyak perbezaan di antara satu-lawan-satu atau tiga penjuru.

Jika saya dan pimpinan PKR lain tunduk kepada pendapat segelintir wakil NGO ini dan tidak mempertahankan prinsip hanya untuk membina satu pakatan pembangkang yang melibatkan PAS (demi pertandingan satu lawan satu), ada kemungkinan kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang tidak banyak berbeza dari apa yang ada sekarang.

Tetapi kini bila semakin kelihatan pengaruh PAS dalam pertandingan tiga penjuru semakin berkurangan kerana pengundi lebih memberi perhatian kepada pakatan politik nasional yang berpotensi memenangi Putrajaya (bukannya menang beberapa kerusi sahaja), saya yakin juru komen politik dan segelintir wakil NGO ini secara diam-diam akan menerima hakikat itu.

Tambahan pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri mengakui pertandingan tiga penjuru tidak semestinya mudah bagi Umno/Barisan Nasional.

Secara tidak sedar, rakyat juga akan menyiapkan minda mereka bahawa pertembungan adalah di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Keraguan dan kritikan yang kuat pada awalnya hasil “conventional wisdom” (pada ketika itu) juga akan menjadi keraguan terpencil sahaja.

Jangan pilih jalan mudah

Saya berkali-kali merayu kepada orang ramai supaya tidak memilih jalan mudah dalam membawa perubahan.

Saya sering mengingati bahawa mengubah nasib rakyat dan negara bukanlah percaturan di antara beberapa kelompok elit politik sahaja yang berbincang di dalam bilik mesyuarat tetapi terpisah dari rakyat terbanyak.

Perubahan yang berkekalan mesti melibatkan seberapa ramai rakyat biasa. Hala tujunya juga tidak boleh meminggirkan sentimen rakyat terbanyak yang turut serta di dalam gelombang perubahan itu, walaupun ia membawa ke jalan yang nampak lebih sukar kerana belum pernah dicuba.

Samalah juga dengan keputusan-keputusan strategik yang telah dan akan diambil oleh PKR dan Pakatan Harapan.

Bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dan mempertahankan parti-parti gabungan Pakatan Harapan seperti AMANAH dan BERSATU memang nampak lebih sukar berbanding jalan mudah mengorbankan AMANAH, BERSATU dan DAP untuk memenuhi kehendak PAS, tetapi itu bukan kehendak rakyat terbanyak.

Jalan mudah itu tidak melambangkan matlamat sebenar reformasi yang berteraskan prinsip keadilan untuk semua dan menentang rasuah yang membebankan rakyat.

Bersetuju bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri yang akan diangkat melalui kaedah pengampunan diraja dan pilihanraya kecil dalam masa beberapa bulan selepas kemenangan Pakatan Harapan juga bukanlah jalan termudah.

Tetapi itu jugalah jalan yang akan mendapat dokongan paling ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum, jika benar kita mahu menyahkan Datuk Seri Najib dari Seri Perdana.

Paling penting, rakyat Malaysia yang mahukan perubahan perlu sedar kita berada di kedudukan sekarang kerana ramainya rakyat Malaysia yang tidak bernama sebelum ini yang membantu.

Ramai yang tidak pernah merasa kedudukan (hatta sekecil jawatan di dalam JKKK pun) yang turut serta.

Mereka kekal menyokong usaha menggantikan sistem kerajaan Barisan Nasional sejak 1998 lagi kerana mereka tahu bahaya rasuah dan pemusatan kuasa kepada rakyat dan negara.

Sebab itu saya berdoa pimpinan Pakatan Harapan tidak mengecewakan rakyat dengan menjauhi perangkap rasuah dan mencari kedudukan yang kini menjatuhkan Umno/Barisan Nasional.

Saya berdoa Allah SWT memberi kecekalan dan keazaman agar pimpinan Pakatan Harapan tidak terpesong dari perjuangan rakyat dan tidak tewas dengan ujian berkuasa iaitu rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Saya tidak kisah sangat bila ada segelintir yang mengecam pendapat politik saya; baik dari soal penubuhan Pakatan Harapan, kepada pendirian saya mengenai PAS, kepada pendapat saya bahawa Pakatan Harapan boleh menang pertandingan tiga penjuru; dan pendapat saya Anwar Ibrahim adalah calon terbaik Perdana Menteri yang boleh diabsahkan secara mudah melalui pengampunan diraja.

Saya tidak alpa bahawa Najib sendiri sudah berlatih menjeritkan “Lawan Tetap Lawan” kepada aktivis tentera maya Umno baru-baru ini seolah-olah beliau sedang bersedia menjadi pembangkang, kerana Najib pun sedar pertandingan tiga penjuru bukan jalan mudah untuk beliau.

*  Rafizi Ramli adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan.

Tiada ulasan: