HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Mei 2017

Kami tak lindungi orang buruan, kata TPM

MALAYSIAKINI

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kepada masyarakat India bahawa Malaysia tidak mempunyai sejarah memberi perlindungan kepada orang yang menjadi buruan.

Jaminan itu diberikan susulan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (Maicci) yang menimbulkan kebimbangan dengan kehadiran pendakwah Islam Dr Zakir Naik di negara.

"Maicci mengketengahkan kepada Timbalan Perdana Menteri mengenai kebimbangan terhadap toleransi yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa Malaysia ke atas kenyataan melampau yang dibuat oleh Zakir Naik dalam ajarannya dan kehadiran berterusannya di Malaysia, walaupun beliau menjadi buruan di India atas dakwaan menyebarkan keganasan dan pengubahan wang haram.

"TPM menjelaskan bahawa Malaysia tidak pernah bersekongkol untuk memberi perlindungan kepada mana-mana orang yang menjadi buruan di negara kita," kata Maicci dalam satu kenyataan semalam.

Jaminan itu diberikan semasa sesi dialog Maicci yang diadakan dengan Zahid di pejabatnya di Putrajaya Khamis lalu.

Maicci berkata Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa Zakir, yang memegang taraf penduduk tetap Malaysia, tidak berada di neagar ini.

Beliau juga mengulangi bahawa kerajaan Malaysia akan membantu India dalam siasatannya jika diminta, kata Maicci.

Ini termasuk menyelaraskan siasatan oleh pihak berkuasa India apabila Zakir berada di Malaysia, kata Zahid kepada kumpulan itu.

Maicci turut menyerahkan memorandum tujuh perkara membabitkan kebimbangan mengenai dasar pekerja asing, kemiskinan bandar, pelan tindakan India Malaysia dan kemungkinan kerjasama antara Maicci dan kerajaan untuk manfaat masyarakat India, katanya.

Tiada ulasan: