HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Mei 2017

Kedah digesa hentikan perobohan 18 rumah kampung

 
 
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah digesa menghentikan perobohan 18 buah rumah di kampung baru Kuala Nerang yang telah diduduki selama lebih daripada 60 tahun.

Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung berkata, Ahmad Bashah perlu campur tangan untuk menghentikan perobohan rumah-rumah di Jalan Kampung Masjid, Pekan Kuala Nerang, Padang Terap sehingga penduduk kampung tersebut dipindahkan dan menerima pampasan mencukupi.

Para penduduk kampung menerima notis dari Pejabat Daerah Padang Terap pada 16 Mei untuk mengosongkan tanah negeri dengan memaklumkan aktiviti merobohkan rumah akan dilakukan esok, 22 Mei.

"Saya turut meminta untuk pertemuan bagi pihak penduduk kampung dengan MB untuk membincangkan perkara ini bagi melihat bagaimana kita boleh membantu menyelesaikan isu itu dengan cara yang berperikemanusiaan," Gooi kepada Malaysiakini.

"Setakat ini, tiada maklumat diberikan. Kita tidak tahu dalam bentuk apa penduduk kampung akan dibantu oleh kerajaan untuk menempatkan semula dan membina rumah jika ia dirobohkan, "katanya.

"Mereka tidak menentang tanah diambil tetapi mahu penyelesaian yang munasabah termasuk penempatan semula dan pampasan yang sepatutnya kerana sebahagian penduduk kampung membina rumah di sana sebelum merdeka lagi," tambahnya.

Tiada ulasan: