HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

Keputusan DUN Sarawak tepat lucut kelayakan ADUN Pujut - Azalina

DETIK DAILY

 

BANGI: Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa hanya warganegara Malaysia layak menjadi calon pada pilihan raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata sehubungan itu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar membuat keputusan tepat untuk melucutkan kelayakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Dr Ting Tiong Choon kerana mempunyai dua kewarganegaraan.

"Sepatutnya apabila anda seorang anggota Parlimen atau ADUN, kenapa anda mahu mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan? Saya fikir itu adalah salah. "Saya pun tak faham kenapa DAP membenarkan wakilnya Dr Ting bertanding... dia (DAP) buat semua boleh, orang lain tak boleh," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis penutupan "Forum: Hard Talk: A-Z Children in Contact With the Law" di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (IKLAP) di sini, hari ini.

Semalam DUN Sarawak melucutkan kelayakan Ting sebagai ADUN Pujut selepas usul dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri Datuk Woon Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan kerana Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Dalam usul itu, Wong menyatakan bahawa Ting juga didaftar sebagai pengundi di Australia dan berikrar taat setia kepada negara di luar Persekutuan Malaysia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN manakala 10 yang lain membantah.

Perkara 48 (1) (f) Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang boleh kehilangan kelayakan anggota Parlimen atau ADUN apabila dia dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan Malaysia atau membuat akuan setia kepada negara di luar Persekutuan Malaysia.

Dalam pada itu, Azalina turut mengingatkan bakal calon pada pilihan raya umum akan datang agar lebih jelas dengan soal kewarganegaraan.

"Ini merupakan satu peringatan kepada semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri bahawa anda tidak boleh memiliki lebih daripada satu kewarganegaraan," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: