HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Mei 2017

Kesihatan Hadi bertambah baik selepas pembedahan

 
Setiausaha politik presiden PAS berkata, perkara pertama yang disebut Hadi malam tadi selepas mula bersuara ialah menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya

.
Ahmad-Samsuri-Mokhtar_Abdul-Hadi-Awang_600


PETALING JAYA: Setiausaha politik presiden PAS memaklumkan kesihatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertambah baik, selepas melalui tempoh kritikal 24 jam pertama susulan pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkara pertama yang disebut Hadi malam tadi selepas mula bersuara ialah menyampaikan salam kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.

“Pagi ini tuan guru (Hadi) juga nampak keceriaannya dan sudah mula menjamah makanan lembut,” katanya sambil menambah pihak keluarga dan pucuk pimpinan PAS mengajak ahli serta penyokong parti itu terus berdoa supaya proses pemulihan Hadi berjalan lancar.

Katanya, ketika ini, hanya keluarga terdekat dibenarkan menemui Hadi.

Pemimpin pembangkang berusia 69 tahun itu akan ditempatkan di unit rawatan rapi IJN selama beberapa hari untuk pemantauan rutin selepas menjalani pembedahan jantung.

IJN dalam satu kenyataan semalam berkata, doktor menasihati pembedahan itu dijalankan memandangkan berlaku kebocoran pada injap jantung Hadi yang menyebabkan kegiatan hariannya terjejas.

Pembedahan semalam dilakukan selama 3 jam oleh panel doktor diketuai Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik dan juga Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub, Ketua Pembedahan Kardiotorasik, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon dan Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi, Datuk Dr Suhaini Kadiman.

Ahli Parlimen Marang itu dimasukkan ke IJN sebanyak 2 kali tahun lalu, iaitu pada Januari untuk rawatan rutin dan Oktober untuk rawatan susulan.

Tiada ulasan: