HALAMAN SANTAI

Rabu, 10 Mei 2017

Kit Siang Tidak Mungkin Bertanding Di Kedah – Akhbar Cina





PULAU PINANG – Seorang kolumnis Kwong Wah Daily berpendapat, Lim Kit Siang tidak akan menanggung risiko untuk bertanding di Kedah, walaupun terdapat ura-ura bahawa pemimpin veteran DAP itu akan melakukan percubaan tersebut.


Penyokong DAP Kedah juga dilaporkan mengalu-alukan Kit Siang untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar.

Kolumnis akhbar Cina itu berpendapat, DAP perlu mengambil kira faktor Mahathir dalam percaturannya iaitu kemungkinan berlaku kehilangan undi Cina dan sejauh mana undi Melayu dapat menggantikan undi Cina jika Kit Siang bertanding di Kedah.

“Beberapa ramaikah penyokong Pas yang sanggup membelakangi parti mereka dan mengundi Kit Siang sebagai menyahut seruan Tun Dr. Mahathir Mohamad?

“Mereka yang asalnya menyokong UMNO mungkin mengalihkan sokongan kepada Dr. Mahathir, tetapi adakah mereka sanggup untuk menyokong DAP?” tanya Lin En Ting dalam kolumnya.

Katanya lagi, Kedah secara tradisinya bukan medan utama DAP dan Kit Siang tidak sanggup menanggung risiko di negeri utara Semenanjung itu.

Penulis itu juga membangkitkan bahawa Kedah merupakan negeri yang pernah diperintah Pas dengan masyarakat yang secara bandingannya lebih konservatif berbanding Johor.

MCA secara tradisinya bertanding di dua kerusi Parlimen di Kedah iaitu Alor Setar dan Padang Serai yang masing-masing mempunyai 34 dan 24 peratus pengundi Cina.

Terdapat 52 peratus pengundi Cina di Gelang Patah, Johor yang mana Kit Siang sedang menjadi wakil rakyatnya selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya 2013.

Pada pilihan raya lalu, Kit Siang telah memimpin jentera DAP untuk menembus kawasan MCA Johor termasuk Gelang Patah, Kluang dan Kulai.

Selain Johor, pemimpin DAP tersebut juga pernah bertanding di Melaka, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: