HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Mei 2017

Laporan: Agen Turki, ditemani pakar bius, turut serta penangkapan di KL

 
Ia sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai penafian Malaysia yang penangkapan 3 warga Turki bukan atas arahan Ankara.


3-rakyat-turkey 

PETALING JAYA: Beberapa pegawai mewakili badan penguatkuasa Turki termasuk seorang pakar bius turut serta dalam operasi penangkapan 3 rakyat negara itu oleh polis Malaysia baru-baru ini, menurut agensi berita Anadolu yang dipetik sebuah laman berita Turki.

Turkish Purge yang giat melaporkan tindakan besar-besaran Presiden Recep Tayyip Erdogan ke atas pengkritik kerajaan, berkata ia sekaligus menolak dakwaan pihak berkuasa Malaysia yang menafikan ada campurtangan Ankara dalam penahanan 3 lelaki warga Turki yang kemudian dihantar pulang.

Turgay Karaman, 43, Ihsan Aslan, 39 dan Ismet Ozcelik, 58, dituduh pentadbiran Erdogan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas. Tuduhan itu lazim dilemparkan ke atas puluhan ribu orang yang ditahan setakat ini kerana bersimpati dengan pergerakan pimpinan ulama dalam buangan Fethullah Gulen.

Gulen dituduh mendalangi percubaan rampasan kuasa di Turki tahun lalu, dakwaan yang dinafikan olehnya.

Turgay, Ihsan dan Ismet ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, atau Sosma, pada 2 dan 4 Mei 2017 di lokasi berasingan.

Penangkapan mereka pada awalnya disangka penculikan oleh sebab ia dilakukan beberapa lelaki tanpa pakaian seragam.

Pada 11 Mei, Malaysia menghantar mereka pulang walaupun selepas rayuan ahli keluarga yang bimbang ancaman terhadap mereka oleh pihak berkuasa Turki.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan polis Malaysia bertindak atas arahan kerajaan Turki, sebaliknya ia berdasarkan maklumat Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC).

Bagaimanapun, agensi berita Anadolu melaporkan Pertubuhan Penyiasatan Kebangsaan Turki (MIT) dan sebuah unit anti-keganasan dari negara itu turut menemani operasi penangkapan warga Turki di Kuala Lumpur.

Manakala seorang pakar bius turut dibawa bersama sekiranya tahanan bertindak agresif.
Anadolu yang dipetik Turkish Purge juga melaporkan sebuah rombongan dari Turki berkongsi maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu dengan pihak berkuasa Malaysia dengan menggunakan kod bagi tujuan menyamar.

Menurutnya, penglibatan anggota keselamatan Turki dalam operasi di Malaysia dirahsiakan, malah ahli keluarga mereka sendiri tidak mengetahuinya.



 

Tiada ulasan: