HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mei 2017

Lata Carok: UiTM tak mohon permit masuk hutan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tiada permohonan dibuat oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) atau pihak penganjur bagi menjalankan aktiviti di Lata Charok, di mana insiden dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam maut dihempap pokok semalam.
 
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Lata Charok atau Air Terjun Ulu Tampik yang terletak dalam Kompartment 51, Hutan Simpan Lentang dan ia tidak diwartakan sebagai Kawasan Taman Eko Rimba.
 
"Saya ingin mengingatkan kepada semua pihak yang mahu melakukan sebarang aktiviti riadah atau sukan dalam hutan, mereka perlu mendapatkan permit dan memaklumkan kepada Pejabat Hutan terlebih dahulu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi semalam, dua pelajar UiTM, Noorain Mohtar, 23, dan Muhammad Kamil Md Sukri, 22, maut dihempap pokok yang tumbang manakala enam lagi cedera termasuk seorang yang parah ketika menjalani aktiviti perkhemahan di kawasan air terjun berkenaan.
 
Laporan menyatakan seramai 140 penuntut dan empat pensyarah terlibat dalam aktiviti itu.
 
Wan Junaidi berkata, satu laporan polis telah dibuat dan pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan insiden berkenaan.
 
“Semua pihak sama ada penganjur mahu pun orang perseorangan diharap mengambil iktibar daripada insiden itu dengan mematuhi segala peraturan dan keperluan yang ditetapkan,” katanya.
 
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terbabit.
 
 

Tiada ulasan: