HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mei 2017

Lelaki terkaya China bakal ambil alih Bandar Malaysia?

 
Akhbar Singapura berkata syarikat China itu menyasarkan separuh daripada projek itu untuk pelancongan dan hiburan dengan nilai hampir RM35 bilion.


Wang-Jianlin


PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka melawat China minggu ini di sebalik desas desus pengganti untuk memajukan Bandar Malaysia sudah dikenal pasti, lapor akhbar Singapura, The Straits Times (ST) hari ini.

Malah, ST memetik sumber “pegawai kerajaan Malaysia” berkata perjanjian baharu yang bakal diadakan lebih tinggi nilainya daripada RM12.3 bilion sebelum ini.

Ia mendakwa Kumpulan Dalian Wanda yang dimiliki Wang Jianlin, lelaki terkaya di China, disebut-sebut sebagai pengganti untuk memajukan projek mega di Kuala Lumpur itu, susulan pembatalan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah konsortium melibatkan China Railway Engineering baru-baru ini.

Akhbar itu berkata Putrajaya sedang dalam rundingan dengan Dalian Wanda untuk mengambil alih projek mega itu, dan kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa China memandangkan ia melibatkan pengaliran keluar dana dari China.

Satu daripada perbincangan itu, menurut ST, ialah cadangan Wanda untuk menyasarkan separuh daripada pembangunan Bandar Malaysia kepada sektor pelancongan dan hiburan dengan nilai anggaran AS$8 bilion (RM34.6 bilion).

Najib dijangka melawat China pada Khamis ini bagi menghadiri sebuah forum di Beijing mengenai kerjasama antarabangsa.

Bandar Malaysia merupakan projek induk syarikat milik kerajaan 1MDB. Minggu lalu, projek itu terganggu selepas perjanjian jualan saham syarikat dimiliki Kementerian Kewangan dengan sebuah usaha sama China-Johor diumumkan terbatal.

TRX City, pemaju induk Bandar Malaysia mendakwa Konsortium Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) gagal menyelesaikan bayaran bagi pemilikan kepentingan dalam Bandar Malaysia seperti terkandung dalam perjanjian lewat 2015.


Dakwaan itu ditolak konsortium itu yang menyatakan pembayaran sudah dilakukan.

Tiada ulasan: