HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mei 2017

LHDN lancar ops kutip di seluruh negara, sasar 16.31 juta kutipan cukai tertunggak

ASTRO AWANI

LHDN lancar ops kutip di seluruh negara, sasar 16.31 juta kutipan cukai tertunggak
LHDN turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi memantapkan lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal mematuhi ansuran cukai tertunggak.
 
 
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan Kempen Untuk Tingkatkan Pemungutan (Ops KUTiP) 2017 selama dua hari bermula hari ini secara serentak di 13 cawangan Pejabat Pengarah Negeri seluruh negara dengan jumlah sasaran kutipan RM16.31 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah berkata operasi tersebut merupakan antara inisiatif LHDN bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak 90 peratus atau RM293.57 juta daripada RM326.19 juta cukai tertunggak menjelang hujung tahun ini.

"Operasi melibatkan 3,838 pembayar cukai yang mempunyai tunggakan iaitu 1,402 adalah dari kategori syarikat dan 2,436 adalah selain syarikat. Ia adalah bagi meningkatkan dan mempercepatkan pemungutan.
 
"Program ini juga bertujuan memperluaskan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat berhubung tanggungjawab cukai mereka agar tahap pematuhan secara sukarela dapat dipertingkatkan," katanya ketika merasmikan Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional Ketiga 2017 di sini yang disiarkan secara langsung dari Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata LHDN turut menubuhkan cawangan guaman Kuala Lumpur awal bulan ini bagi memantapkan lagi prosedur pengendalian kes melibatkan pembayar cukai yang gagal mematuhi ansuran cukai tertunggak dalam tempoh yang ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul Hamid dalam sidang media berkata di sepanjang program itu, petugas yang dilantik akan menyerahkan surat tunggakan cukai dan memberikan penerangan mengenai kaedah pembayaran.

Beliau berkata pembayaran cukai tertunggak hanya boleh dilakukan secara cek atau draf bank (atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) melalui petugas yang dilantik dan pembayaran secara tunai kepada petugas dilantik adalah tidak dibenarkan.

"Status pembayaran cukai tertunggak oleh pembayar cukai yang menerima notis tunggakan cukai daripada petugas juga akan dipantau secara ketat oleh pejabat LHDN di semua negeri dan Jabatan Pungutan Hasil LHDN," katanya. -- BERNAMA 
 
 

Tiada ulasan: