HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mei 2017

Majlis Syura: PAS putus tahaluf dengan PKR, kedudukan exco di Selangor diputuskan oleh J/kuasa Pusat

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Majis Syura Ulama PAS sebentar tadi mengambil keputusan bahawa parti itu akan memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR berkuat kuasa serta merta, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai nasib kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 
 
Badan tertinggi PAS itu berkata dengan keputusan berkenaan, Jawatankuasa PAS Pusat pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menentukan kedudukan exco-exco dan wakil PAS di dalam kerajaan negeri pimpinan PKR itu. 
 
"Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.
 
"Ini merujuk kepada begitu banyak perlanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam, maka hubungan politik tahaluf siyasi antara PAS dan PKR telah terbatal," kata Setiausahanya, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh dalam sidang media, di ibu pejabat parti itu sebentar tadi.
 
Turut hadir di sidang media berkenaan adalah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
 
Jawatankuasa Pusat PAS dijangka mengambil keputusan mengarahkan tiga exco dan ratusan wakil parti di dalam Pihak berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat-syarikat berkaitan negeri Selangor untuk meletak jawatan sebagai melaksanakan keputusan Majlis syura itu.  
 
Nik Zawawi dalam pada itu memberikan sebab yang membawa kepada terbatalnya tahaluf siyasi dua parti berkenaan.
 
"Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355. Malah melanggar adab-adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.
 
"Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan kerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," ujarnya.
 
Sebelum ini Muktamar PAS Pusat bulan lalu mengambil keputusan meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan tahaluf siyasi yang dijalin dengan PKR sejak 2008. Sayap pemuda dan Dewan Ulama parti itu turut mengambil keputusan sama kerana kecewa dengan beberapa tindakan PKR. 
 
Ia termasuk tindakan parti itu bersekongkol dengan dua musuh utama PAS iaitu DAP dan Amanah, selain beberapa pemimpin PKR mengecam pimpinan PAS khususnya Hadi secara terbuka. 
 
Namun isu terbesar PAS dengan PKR ialah keengganan parti itu memberikan sokongan kepada usul Hadi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah sungguhpun beberapa siri penjelasan diberikan kepada pucuk pimpinan PKR. 
 
PKR dilihat oleh beberapa pemimpin PAS sebagai hanya mahukan sokongan PAS untuk memenangi pilihan raya namun enggan bersama parti itu dalam perjuangan Islam. 
 
Keputusan Majlis Syura hari ini bererti PAS ini bersedia untuk menghadapi saingan daripada PKR, selain Amanah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan musuh politik tradisi Umno, pada pilihan raya umum yang dijangka di adakan lewat tahun ini atau awal 2018. 


Tiada ulasan: