HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Mei 2017

MCA: Jangan heret isu kaum dalam insiden tampar

MALAYSIAKINI


Pemuda MCA mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membangkitkan sentimen perkauman berikutan 'insiden tampar' ketika sesi dialog TN50 melibatkan penggiat seni minggu lalu.

Dalam kejadian itu, pelawak Yassin Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Mat Over menampar penerbit filem, David Teo di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Adalah salah bagi Sulaiman menampar sesiapa sahaja tetapi dia dah belajar daripada kesilapan.

"Orang ramai perlu lupakan dan henti menyemarakkan api. Sebaliknya kita perlu berhati-hati dengan pihak yang cuba membangkitkan sentimen perkauman kerana mereka mempunyai niat yang tidak membantu negara," kata Setiausaha Agung Pemuda MCA, Leong Kim Soon dalam satu kenyataan.

Sebuah NGO baru-baru ini mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Teo di Petaling Jaya bagi menuntut permohonan maaf daripadanya berhubung kejadian tersebut.

Anggota kumpulan berkenaan sebelum ini dilihat pernah bersama Ketua bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Satu laporan polis juga dibuat terhadap Teo.

Sementara itu Leong berkata tiada apa yang perlu dikesalkan oleh Teo sehingga perlu meminta maaf.
"Dia yang ditampar tapi diminta mohon maaf. Mereka yang menuntut agar dia berbuat demikian tak dapat bezakan antara yang benar dengan yang salah," katanya.

Leong berkata isu itu telah diselesaikan pada malam yang sama selepas Sulaiman dan Teo bersalaman di hadapan perdana menteri.

Beliau juga memuji keputusan Teo untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Over.

Mat Over, bagaimanapun berkata dia tidak menyesal kerana menampar Teo yang disifatkan sebagai biadap.

Dalam insiden itu, Teo dengan suara yang lantang mempertikai cara pemudahcara, Rosyam Noor kerana hanya menerima soalan daripada mereka yang duduk di hadapan pentas.

Belum sempat Teo melengkapkan pantunnya, Mat Over datang meluru dari arah lain serta menampar penerbit itu.

Teo berjaya menangkis tamparan itu dan cuba menendang Mat Over tetapi tidak mengenai pelakon tersebut.
Anggota keselamatan kemudian meleraikan insiden itu yang
 disiarkan secara langsung di Facebook, ketika perdana menteri masih berdiri di tengah pentas.

Najib kemudian menasihatkan kedua-dua mereka agar berdamai dan berpelukan.


Tiada ulasan: